BOSCH Mrec – Desktop
Artikel PilihanModifikasi

HONDA CIVIC FD CONVERT TYPE-R. MAHAL TAPI BERBALOI!

SHARE

Pengenalan Civic FD2R telah membuka lembaran baru kepada peminat model berprestasi Type R, apabila ia ditawarkan dalam bentuk sedan keluarga. Dah kenapa? Tak nampak resing le gitu. Namun sebaik kuasanya dikerah, ia mampu membuatkan mereka yang acah-acah turbo malu tersipu-sipu melihat aksinya yang lincah.

Dengan tak semena-mena, populariti model ini telah memberi kesan langsung kepada sedara kembarnya yang lain. Ia mula diterima penggiat modifikasi sebagai platform yang sesuai untuk dimajukan. Walaupun berdepan masalah dan kesukaran, keseronokan yang dirasai memang lain macam. Lebih-lebih lagi bila jentera yang dibina, mampu mengatasi kehebatan model sebenar.

Toyo Tyre R2 – LD – Desktop

Farell antara kaki kereta yang memilih, untuk membina sendiri jentera idamannya. Dari sebuah model asas, Civic FD ini telah dirombak secara total untuk kelihatan seperti Type R yang sebenar.

BACA: HONDA CIVIC FD TYPE-R JADIAN

Rasanya tak tinggal apa dah. Dari depan, belakang dan sisi, semuanya dihuni komponen milik Civic FD2R. Bagi mendapatkan rupa lebih seimbang, bahagian panel belakang juga telah dikembangkan, untuk kelihatan selari dengan fender depannya. Dalam gambar mungkin tak nampak mana. Kena sentuh dan pegang, baru boleh perasan kat mana bezanya.

BACA: SEMANGAT R – HONDA CIVIC FD

Faktor keselesaan masih diberi keutamaan dan ia disumbangkan oleh set suspensi talaan FTuned Suspension. Menambah seri luaran adalah rim 18-inci jenis Volk Racing ZE40 dengan tayar Zestino Gredge 07RR berukuran 225/40ZR-18. Kuasa hentian tidak menggunakan brek Brembo, sebaliknya dipasangkan dengan komponen dari Lexus yang memiliki saiz rotor lebih besar.

Walaupun memegang kod yang sama, enjin i-VTEC asal telah ditala pada nisbah kuasa yang jauh lebih rendah. Nama pun sedan keluarga, memang berkicap ler nak racing bagai. Sebagai penyelesaian, Farell telah menggantikannya dengan enjin K20A Type R, sebelum digabungkan dengan blok K24A serta set piston Wiseco 87.5mm sebagai pakej tingkat taraf.

Bahagian kepala silinder masih dikekalkan dan hanya diberi kerja-kerja port & polish untuk melegakan bukaan liang masuk dan keluar. Ia kemudian menerima bekalan udara, yang dibawa masuk dari kit induksi Simota. Untuk bantuan sejukan, unit radiator asal telah digantikan dengan radiator aloi Sard yang lebih besar. Memastikan lampu amaran enjinnya tidak menyala sesuka hati, unit ECU perlu digodam dengan perisian Hondata Flash Pro.

Untuk menyadokan lengan kiri, sistem transmisi telah diubah menjadi manual hasil penggunaan kotak gear Civic FD2R. Tiada perubahan besar di bahagian ini dan ia masih bergantung harap kepada unit klac yang asal. Belum slip katanya. Bagi meraih saki baki kuasa yang ada, sistem ekzos perlu diperangkan bermula dengan pemasangan ekstraktor Skunk2 Alpha, paip tengah kustom, serta muffler J’s Racing 70RR.

BACA: HONDA CIVIC FD2R EDISI KARBON

Seperti dijangka, bahagian dalam juga menerima salinan komponen dari model FD2R. Yang mana tengah bikin, tentu dapat agak berapa riban dah Farell habiskan untuk melengkapkan bahagian ini. Mula dengan dashboard, stereng, tempat duduk, konsul gear, panel pintu, set pilar, sampaikan karpet tu pun datang dari model yang sama. Bagi tujuan pemantauan pulak, bahagian tengah dashboard diserikan dengan 3 bijik meter Defi untuk bacaan suhu minyak, tekanan minyak dan suhu enjinnya.

Ketika ini, peminat Honda tempatan pasti sedang menantikan pelancaran rasmi model Civic FK8 Type R yang baru tuh. Walaupun di luar kemampuan ramai, reputasi sebagai model pacuan depan terpantas, sudah tentu memberi keterujaan kepada peminatnya di sini…

Spesifikasi

Pemilik                        Ku Farell

Pengeluar                    Honda

Model                          Civic FD2

Tahun                          2006

Enjin asal                    K20Z

Modifikasi Enjin         K20A Type R, blok K24A, piston Wiseco 87.5mm, port & polish kepala silinder, kit induksi & penapis udara Simota, radiator aloi Sard, Hondata Flash Pro

Transmisi                    Kotak gear manual Civic FD2R, klac standard Civic FD2R

Ekzos                          Ekstraktor Skunk2 Alpha, paip tengah kustom, muffler J’s Racing 70RR

Luaran                         Kit badan Civic FD2R, panel belakang kustom

Suspensi                      FTuned Suspension

Brek                            Lexus 4-pot (depan)

Rim & Tayar               Volk Racing ZE40 18-inci & Zestino Gredge 07RR 225/40ZR-18

Dalaman                      Komponen lengkap Civic FD2R, meter tambahan Defi

Bengkel                       KJ Motorsport, RRR Garage, D.A.D Garage, NakalR Car

Detailing, Zestino Malaysia, Paliey Auto & Accessories

-PAK MAUN-

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button