Buletin

HONDA FRANZ SYSTEM, BANTU OKU TANPA TANGAN PANDU KERETA!

Seperkara menarik tentang kenderaan di Jepun ialah varian kereta yang dikhususkan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dengan kerusi Welcab atau pelantar kerusi roda.

Honda pula pergi lebih jauh dengan menawarkan teknologi untuk OKU memandu. Iya, bukan sekadar menjadi penumpang tetapi OKU boleh memandu kereta sendiri!

Honda Access Co., Ltd. pada November 2021 telah memperkenalkan Honda Franz System untuk Honda FIT e: HEV yang membolehkan OKU tanpa tangan memandu menggunakan kedua-dua belah kaki.

Berasal dari Jerman puluhan tahun lalu

Sebelum Honda, kit Franz System telah pun digunakan di Eropah dan pertama kali dibangunkan di Jerman pada tahun 1965. 

Untuk teknologi ini, Honda telah menerima panduan teknikal secara terus dari Franz pada tahun 1981 dan setelah beberapa penyesuaian dibuat ianya diperkenalkan buat pertama kali di Jepun pada tahun 1982. 

Menyoroti sejarah, Honda sebenarnya telah pun menawarkan kit Honda Techmathic untuk OKU sejak tahun 1971 lagi.

Cumanya sistem itu memerlukan sekurang-kurangnya satu tangan dan satu kaki untuk digunakan.

Noriko Tsuji utus surat

Idea untuk menghasilkan kit pemanduan bagi OKU tanpa tangan dicetuskan oleh Noriko Tsuji, seorang wanita tanpa kedua-dua tangan yang mengutus surat kepada Honda tentang hasratnya untuk memandu kereta.

Hasrat tersebut berjaya direalisasikan pada tahun 1982 dan Civic adalah model pertama yang menggunakan Franz System di mana Noriko mengujinya di litar Suzuka!

Buat masa sekarang Honda adalah satu-satunya pengeluar yang menggunakan Franz System di Jepun.

Pandu guna kaki

Kit Honda Franz System dari Honda Access boleh dipasang pada FIT e: HEV HOME and FIT e: HEV CROSSTAR. 

Komponen standard untuk kit tersebut terdiri daripada unit pedal stereng kaki dan suis kombinasi kaki.

Pedal tukaran gear kaki, tali pinggang keledar dan alas kaki pula ditawarkan sebagai kit pilihan.

Bagaimana kit Honda Franz System berfungsi?

Seperti yang dinyatakan di atas, kit standard Honda Franz System terdiri daripada unit pedal stereng kaki. Pedal tersebut berfungsi seperti pedal basikal bagi memutar stereng ke kanan dan ke kiri.

Kit standard kedua ialah suis kawalan dengan pelbagai fungsi yang diaktifkan menggunakan kaki.

Di antaranya ialah lampu isyarat kanan dan kiri, hon dan menariknya fungsi Honda Sensing seperti Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan pengesanan trafik dan Sistem Bantuan Pengekalan Lorong (LKAS)!

Kit pilihan pedal tukaran gear kaki pula membolehkan pemandu menukar gear untuk seleksi P, R, N, D dan B.

Kit tali pinggang keledar membolehkan pemandu memakainya secara automatik apabila pintu ditutup.

Berapa harga?

Bergantung kepada varian FIT, kit standard Honda Franz System untuk FIT e: HEV HOME FF berharga 3,542,000 yen (RM128,522).

Pedal tukaran gear kaki berharga 250,000 yen (RM9,071) manakala tali pinggang keledar automatik ditawarkan pada 328,000 yen (RM11,901).

Google ads
Back to top button