Buletin

AMAZON HENTIKAN JUALAN KLIP SEAT BELT DI INDIA SERTA-MERTA

Amazon akan menghentikan jualan produk klip tali pinggang keledar, alat untuk menghentikan bunyi amaran penggera tali pinggang keledar kereta berikutan kematian ahli perniagaan tempatan berprofil tinggi.

Amazon serta-merta menghentikan jualan klip tersebut di India sejurus selepas Menteri Pengangkutan India, Nitin Gadkari meminta Amazon berbuat demikian.

Gadkari menegaskan larangan itu selepas ahli perniagaan Cyrus Mistry meninggal dunia dalam kemalangan kereta pada hujung minggu dan didapati tidak memakai tali pinggang keledar.

Bercakap dengan Reuters, Amazon berkata ia telah mengeluarkan produk berkaitan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penjual yang menawarkan produk tersebut.

India ialah pasaran kereta keempat terbesar di dunia. Pada tahun 2021 sahaja, kemalangan meragut nyawa lebih 150,000 orang yang menyumbang satu kematian setiap empat minit.

Negara itu sedang mendesak perubahan dan berhasrat untuk mewajibkan penggera tali pinggang keledar bukan sahaja untuk tempat duduk hadapan, malah tempat duduk belakang. Ia berharap dapat mengurangkan separuh daripada jumlah kemalangan jalan raya dan kematian menjelang akhir 2024.

Walaupun klip tali pinggang keledar tidak akan dijual di India, tetapi Amazon tidak mengambil tindakan sama untuk pasaran di Amerika Syarikat dan negara-negara lain.

Klip itu boleh dibeli di luar negeri dan kebanyakannya boleh didapati dengan penghantaran percuma melalui Amazon Prime.

Google ads
Back to top button