Buletin

HONDA N-BOX BERUBAH WATAK DEMI LAWAN BYD DI PASARAN KEI CAR

Kehadiran sebuah EV kecil daripada BYD dijangka mengubah landskap kereta kei di Jepun. Apabila pengeluar China itu bersiap sedia memperkenalkan model elektrik kompak Racco ke pasaran tempatan, pemain utama industri tidak mengambil sikap berdiam diri.

Honda, misalnya, dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah besar dengan merancang versi elektrik bagi model terlarisnya, N-Box, seawal tahun 2027.

Jika direalisasikan, ini akan menjadi kali pertama N-Box ditawarkan sebagai kereta kei elektrik sepenuhnya, satu perubahan penting bagi pengguna Jepun yang sudah lama mengenali model ini dalam bentuk enjin pembakaran dalaman.

N-Box bukan sekadar popular, malah ia mendominasi carta jualan kenderaan baharu Jepun selama tiga tahun berturut-turut.

Ketika ini, N-Box hanya ditawarkan dengan enjin petrol tiga silinder 658cc, sama ada versi aspirasi biasa dengan 58hp atau versi turbo berkuasa 63hp.

Honda memperkenalkan generasi ketiga model ini kira-kira dua tahun lalu, dan sambutannya kekal kukuh dengan lebih 206,000 unit terjual pada tahun lalu sahaja.

Memandangkan pembangunan N-Box elektrik masih di peringkat awal, maklumat terperinci mengenainya masih terhad.

Namun, jika Honda mahu memastikan model ini mampu bersaing secara langsung dengan BYD Racco yang dijangka memasuki pasaran pada 2026, beberapa penanda aras penting perlu diberi perhatian.

Sebagai perbandingan, BYD Racco dilaporkan menggunakan pek bateri berkapasiti 20kWh, dengan jarak pemanduan sekitar 180 kilometer bagi setiap cas.

Menurut laporan Nikkei Asia, Honda masih menilai sasaran jarak pemanduan serta strategi harga bagi N-Box EV. Apa yang jelas, versi elektrik ini tidak akan menggantikan model petrol sedia ada, sebaliknya dijual selari untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pembeli.

Walaupun Jepun terkenal sebagai negara berteknologi tinggi, penerimaan kenderaan elektrik di pasaran domestiknya masih perlahan.

Untuk rekod, EV kini hanya menyumbang sekitar 2 peratus daripada jumlah jualan kereta baharu. Namun begitu, EV bersaiz kecil seperti Nissan Sakura dan Mitsubishi eK X menunjukkan prestasi memberangsangkan, merangkumi kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan jualan EV di Jepun.

Honda bukan satu-satunya pengeluar yang dilihat bersiap sedia menghadapi cabaran daripada BYD.

Suzuki juga dikatakan sedang membangunkan kereta mini elektriknya sendiri, walaupun setakat ini butiran lanjut masih belum didedahkan, termasuk sama ada model tersebut akan dibangunkan dari platform baharu atau diadaptasi daripada model sedia ada.

Google ads
Back to top button