
ZXMOTO 500F BAKAL MASUK MALAYSIA?
ZXMOTO merupakan antara jenama baharu yang semakin mendapat perhatian terutamanya di EICMA 2025 yang berlangsung pada bulan November lalu.
Ini ZXMOTO mencuri tumpuan dengan memperkenalkan jentera roadster retro ZXMoto 500F serba baharu untuk pasaran global.

Motosikal tersebut mencuri perhatian ekoran bukan sahaja menampilkan reka bentuk yang menarik malah turut menzahirkan DNA seakan Honda CB1000F yang turut diperkenalkan di Milan, Itali.
Untuk rekod, Honda turut bercadang untuk memperkenalkan CB500F namun ZXMOTO bertindak lebih awal dalam memperkenalkan 500F.

Atas kertas, 500F digerakkan enjin empat silinder 470cc yang berupaya menjana 73.4hp pada 11,000rpm dan 48Nm pada 9,500rpm. Ini adalah enjin sama yang menggerakan 500RR namun ditala semula agar lebih praktikal dan selesa.
Antara perincian lain ditawarkan termasuk pencahayaan LED penuh, meter digital analog, cermin sisi berbentuk bulat, fork USD boleh laras, tangki 15.5L.

Meskipun bergaya retro namun ZXMoto 500F ini tampil dengan ciri keselamatan terkini termasuk ABS dan traction control secara standard.
Dalam pada itu, terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa pihak ZXMOTO berminat untuk memperkenalkan barisan model sedia ada ke pasaran Malaysia menerusi pengedar yang belum dikenal pasti.

Apa yang pasti sekiranya benar, kemasukan model seperti ZXMoto 500F pastinya akan disambut baik peminat motosikal retro di Malaysia.
GALERI: ZXMOTO 500F 2026






















