
CHINA HASILKAN ENJIN PROTOTAIP ROTARI UNTUK KERETA TERBANG
China telah mencapai satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan teknologi enjin apabila berjaya menghasilkan sebuah prototaip enjin rotari pertama negara itu berjaya disiapkan dan menjalani ujian awal. Pencapaian ini diumumkan pada 19 Disember 2025 oleh Harbin Dongan Auto Engine, sebuah anak syarikat di bawah Changan Automobile Group.
Enjin yang dikenali sebagai R05E ini direka khusus untuk kegunaan kenderaan altitud rendah yang boleh terbang sehingga 1000m, dan dijangka memasuki peringkat pengeluaran besar-besaran sekitar tahun 2027.
Projek R05E mula dibangunkan pada 9 April 2025 dan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat kejuruteraan global AVL, yang menyumbang kepakaran dalam aspek pembangunan, simulasi serta ujian prestasi enjin. Kerjasama ini mempercepatkan proses pembangunan dan memastikan enjin tersebut memenuhi keperluan operasi sebenar.
Dari segi teknikal, enjin R05E menggunakan konfigurasi rotor tunggal dengan reka bentuk piston berbentuk segi tiga dengan tepi melengkung, ciri tipikal enjin rotari. Ia turut dilengkapi sistem penyalaan berkembar dengan litar elektrik bebas, aci engkol eksentrik ringan bersama sama sistem imbangan, serta jaket penyejukan air bersepadu untuk kawalan suhu yang lebih efisien.
Menurut Dongan, enjin ini sesuai digunakan pada pelbagai platform altitud rendah, termasuk kenderaan bersaiz sederhana hingga besar yang membawa penumpang. Kelebihan utamanya terletak pada ketumpatan kuasa yang tinggi berbanding berat, saiz yang kompak, serta prestasi NVH (bunyi, getaran dan kekasaran) yang baik, menjadikannya ideal untuk aplikasi penerbangan altitud rendah.
Dari segi prestasi asas, R05E mempunyai kelajuan operasi sekitar 6,500 rpm dengan output kuasa kira-kira 53 kW (71 kuasa kuda). Bagi meningkatkan kecekapan tenaga dan ketahanan, enjin ini menggunakan perumah aluminium tuang serta salutan anti-geseran komposit nano-berlian (NDC) pada komponen tertentu.
Pembangunan enjin ini selari dengan hala tuju strategik kerajaan China yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini memberi penekanan kepada pembangunan kenderaan yang mampu terbang pada altitud rendah pada harga ekonomi.
Sektor ini merangkumi aktiviti dan teknologi yang beroperasi di bawah 1,000 meter dari paras tanah, termasuk kenderaan udara elektrik berlepas dan mendarat menegak (eVTOL), dron dan platform penerbangan ringan.
Selain R05E, Dongan turut mendedahkan bahawa mereka sedang membangunkan varian enjin rotari sedutan aspirasi normal dan varian turbo untuk kegunaan UAV (unmanned aerieal vehice) altitud sederhana hingga tinggi. Pembangunan ini dilakukan dengan kerjasama beberapa pemain teknologi utama termasuk ARIDGE (bahagian kereta terbang Xpeng), Huawei dan DJI.
Dengan kejayaan penyalaan awal ini, China kini menunjukkan komitemen untuk kembali mengangkat teknologi enjin rotari sebagai sebahagian daripada ekosistem mobiliti dan penerbangan masa depan.

