
KERETA NASIONAL KUASAI PASARAN, JUALAN EV SEMAKIN MENINGKAT
Jenama nasional kekal menguasai pasaran automotif negara di sebalik prestasi jualan bulanan yang sederhana pada November 2025.
BIMB Securities Research berkata, permintaan terhadap kenderaan mampu milik dan berorientasikan nilai masih menjadi pemacu utama pasaran, sementara segmen kenderaan elektrik (EV) pula mencatatkan pertumbuhan ketara didorong oleh faktor dasar dan strategi penghantaran pengeluar.
Katanya, jenama nasional terus menjadi tunjang kepada jumlah keseluruhan industri (TIV) dengan merekodkan 46,607 unit pada November 2025 disokong oleh jadual pengeluaran yang stabil serta permintaan berterusan bagi kenderaan pasaran massa.
Ia berkata, PERODUA merekodkan penurunan sederhana 1.3 peratus bulan ke bulan berikutan permintaan yang lebih lemah bagi model peringkat permulaan, manakala PROTON menyaksikan penyusutan lebih ketara sebanyak 13.5 peratus susulan penyerahan tertangguh yang telah diselesaikan sebelum ini.

“Walaupun berlaku penyederhanaan bulanan, jenama nasional kekal menguasai 64 peratus pegangan pasaran dengan PERODUA sebanyak 46 peratus manakala PROTON pada 18 peratus.
“Ini sekali gus mengukuhkan keutamaan berterusan terhadap kenderaan mampu milik dan berorientasikan nilai dalam persekitaran pengguna yang semakin berhati-hati terhadap kos,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) minggu lalu melaporkan jualan kenderaan di Malaysia mencatat prestasi memberangsangkan pada November, didorong kempen promosi agresif serta peningkatan permintaan terhadap EV menjelang tamat pengecualian cukai.
TIV bagi November 2025 mencecah 72,509 unit, meningkat 5.5 peratus berbanding 68,749 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh segmen kenderaan penumpang (PV) yang mencatat jualan sebanyak 67,308 unit, naik 5.8 peratus berbanding November 2024, manakala jualan kenderaan komersial (CV) turut meningkat satu peratus kepada 5,201 unit.
BIMB Securities Research berkata, pendaftaran EV melonjak ketara sebanyak 25 peratus bulan ke bulan kepada 5,417 unit pada November 2025 berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sekali gus meningkatkan kadar penembusan EV kepada 4.7 peratus daripada jumlah keseluruhan data JPJ.
Katanya, lonjakan didorong terutamanya oleh Tesla dengan pendaftaran meningkat 307 peratus kepada 1,301 unit, berkemungkinan mencerminkan penghantaran menjelang tamat tempoh pengecualian cukai EV CBU pada 2026.
“BYD mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dengan 1,705 unit walaupun turun dua peratus manakala Proton e.MAS 7 terus mendapat sambutan, meningkat 12 peratus kepada 830 unit.
“Ini menjadikan sektor automotif masih kekal berdaya saing dengan pelancaran model baharu yang berterusan serta pelaksanaan EV oleh pengeluar peralatan tulen (OEM) nasional dijangka terus menyokong permintaan asas.
“Namun, potensi peningkatan adalah terhad oleh beberapa cabaran yang muncul, termasuk risiko rasionalisasi subsidi, perbelanjaan isi rumah yang lebih ketat, serta persekitaran harga yang semakin kompetitif,” katanya. – Berita Harian









