Buletin

HONGQI MASUK PASARAN INDONESIA TAHUN DEPAN

Indomobil Group sekali lagi memperluas portfolionya dengan menyambut satu lagi jenama automotif dari China.

Melalui anak syarikatnya, PT IMG Sejahtera Langsung (IMGSL), kumpulan ini akan menjadi pengedar rasmi bagi kenderaan mewah Hongqi di Indonesia bermula tahun 2026.

Maklumat ini diumumkan menerusi keterbukaan informasi di laman rasmi Bursa Efek Indonesia pada 8 Julai 2025, yang mengesahkan pelantikan IMGSL sebagai pihak bertanggungjawab dalam hal pengedaran, khidmat selepas jualan, serta bekalan alat ganti untuk jenama Hongqi di seluruh negara.

Dengan kehadiran Hongqi, Indomobil menambah satu lagi nama besar ke dalam senarai jenama yang sudah berada di bawah naungannya, termasuk Audi, Volkswagen, Nissan, Suzuki, Kia, Jaguar, Land Rover, Citroen, Aion, Mercedes-Benz, Jeep, Changan, GWM, JAC Motors, dan Maxus.

Sebagai jenama premium milik FAW Group, Hongqi cukup dikenali di China sebagai pembuat kereta rasmi untuk pemimpin negara dan tetamu kenamaan.

Langkah memasuki pasaran Indonesia menandakan strategi perluasan global jenama tersebut, dengan menumpukan pada pasaran Asia Tenggara yang semakin pesat berkembang.

Antara model popular Hongqi yang dijangka bakal menarik perhatian pembeli di Indonesia termasuk:

  • Hongqi H9 – Sedan mewah bersaiz besar yang sering dibandingkan dengan Mercedes-Benz S-Class. Ia hadir dengan pilihan enjin 2.0L turbo atau V6 3.0L turbo, lengkap dengan teknologi bantuan pemanduan dan kabin mewah berinspirasikan estetika tradisional China.
  • Hongqi E-HS9 – SUV elektrik sepenuhnya yang menawarkan jarak operasi lebih 500km dalam satu cas penuh. Model ini hadir dengan susun atur tempat duduk 6 atau 7 tempat duduk, paparan digital gergasi dan sistem pacuan semua roda (AWD).
  • Hongqi L5 – Model flagship ultra-mewah yang biasanya digunakan untuk protokol kenegaraan. Ia menggabungkan reka bentuk klasik dengan ciri moden, enjin V12 dan perincian dalaman buatan tangan.

Kehadiran model-model ini bukan sahaja mencabar pemain Eropah dalam segmen mewah, malah turut menunjukkan keseriusan China dalam membina kereta bertaraf global.

Jika strategi penetapan harga kompetitif diterapkan, tidak mustahil Hongqi akan segera mendapat tempat dalam kalangan pembeli premium Indonesia.

Google ads
Back to top button