Buletin

HONGQI RASMI MASUK PASARAN INDONESIA, SUV E-HS9 JADI TARUHAN PERTAMA

Jenama automotif mewah dari China, Hongqi, secara rasmi memasuki pasaran Indonesia dengan memperkenalkan model elektrik utiliti sukan (SUV) premium E-HS9 sebagai produk sulungnya di negara berkenaan.

Kehadiran Hongqi menandakan langkah baharu jenama yang mempunyai sejarah lebih enam dekad dalam industri automotif China sejak penubuhannya pada tahun 1958.

Sepanjang tempoh itu, Hongqi berkembang daripada pengeluar kenderaan rasmi negara kepada peneraju teknologi mobiliti moden yang memberi tumpuan kepada inovasi dan elektrifikasi.

Menurut Pengurus Besar China FAW Group Import & Export Co., Ltd., Xiao Xiao, Hongqi terus menyesuaikan diri dengan perubahan industri automotif global sambil mengekalkan nilai dan identiti yang menjadi asas jenama tersebut sejak sekian lama.

Sebagai model pertama yang diperkenalkan di Indonesia, E-HS9 dipilih bagi mencerminkan sepenuhnya falsafah dan hala tuju Hongqi.

SUV elektrik bersaiz penuh itu menggabungkan elemen reka bentuk premium, teknologi terkini serta sentuhan budaya Timur yang menjadi identiti jenama berkenaan.

Dari segi penampilan, E-HS9 menampilkan bahasa reka bentuk tersendiri yang diinspirasikan daripada konsep keharmonian dan keseimbangan. Gril hadapan yang menyerupai aliran air terjun menjadi salah satu ciri utama, manakala jalur merah ikonik Hongqi melambangkan warisan dan nilai tradisi yang diterjemahkan ke dalam bentuk moden.

Aspek keselamatan turut menjadi keutamaan dalam pembangunan model ini. Pengalaman Hongqi menghasilkan kenderaan rasmi kenegaraan sebelum ini diterapkan dalam pembangunan E-HS9 menerusi konsep perlindungan menyeluruh yang disifatkan sebagai sebuah “kubu bergerak”.

Dengan dimensi yang besar, E-HS9 turut tampil sebagai antara SUV mewah elektrik paling panjang dalam kelasnya, sekali gus menawarkan ruang kabin yang luas.

Dari segi prestasi, E-HS9 menggunakan konfigurasi dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa tinggi, membolehkan SUV ini menawarkan gabungan prestasi mantap dan pengalaman pemanduan yang lancar.

 Selain produk, Hongqi turut memberi penekanan kepada pengalaman pemilikan pelanggan. Di Indonesia, jenama itu bekerjasama dengan Indomobil Group bagi menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan yang menyeluruh, termasuk khidmat nasihat, penyelenggaraan serta sokongan pelanggan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Hongqi juga dijangka memasuki pasaran Malaysia selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Quill Group of Companies bagi tujuan pengedaran rasmi di negara ini.

Perjanjian tersebut melibatkan syarikat induk Hongqi, China First Automotive Works (FAW) Group, yang melantik Quill Group sebagai pengimport dan pengedar utama jenama itu di Malaysia.

Kerjasama strategik berkenaan dijangka membuka peluang kepada Hongqi untuk bersaing dalam segmen kenderaan mewah tempatan, selain memperkukuhkan kehadirannya di pasaran pemanduan sebelah kanan yang semakin berkembang.

Quill Group turut merancang untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakaran sedia ada dalam sektor automotif bagi memastikan pelanggan menerima pengalaman pemilikan yang lengkap menerusi rangkaian pemasaran, sokongan selepas jualan serta bekalan alat ganti yang efisien.

Google ads
Back to top button