Artikel Pilihan

HYUNDAI STARGAZER, MPV B SEGMEN DENGAN REKAAN FUTURISTIK

Hyundai Stargazer mungkin satu nama yang agak jarang dikenali kerana ia merupakan satu produk baru yang dihasilkan oleh Hyundai bermula dari tahun 2022 khas untuk pasaran Asia Tenggara. Sama seperti Toyota, Hyundai menyedari ia mungkin ada lebih banyak peluang untuk bersaing jika ia menghasilkan kereta khas untuk pasaran yang tertentu

Sebagai contoh Daihatsu Xenia/Toyota Veloz/ Perodua Alza adalah MPV khas untuk pasaran Asia Tenggara dan tidak dijual di pasaran Jepun. Setiap pasaran ada kehendak dan keperluan yang tersendiri dan strategi menggunakan satu produk untuk satu dunia mungkin tidak sesuai dan ketinggalan zaman

Jadi ini adalah sedikit sebanyak info berkenaan Hyundai Stargazer, MPV segmen B keluaran Hyundai:

1. Stargazer dibangunkan dan dihasilkan di fasiliti Hyundai di Hyundai Motor Manufacturing Indonesia Cikarang dan dipertontonkan kepada umum pada 15 Julai serta menerima tempahan untuk jualan pada 11 Ogos 2022 sempena pemeran automotif Gaikindo

2. Stargazer dibangunkan atas platform K2 yang digunakan oleh kumpulan Hyundai-Kia bagi segmen B dan juga C. Ia adalah platform yang unik kerana jarak antara roda boleh dipanjangkan bagi memuatkan 3 baris tempat duduk

3. Dari segi saiz, Stargazer datang dengan jarak antara roda 2780mm, lebar 1780mm, tinggi 1695mm dan berupaya menghasilkan 200 liter ruang kargo apabila semua kusyen digunakan. Jarak kelegaan permukaan bumi pula ditetapkan pada 190mm

4. Stargazer dihasilkan dengan rekaan minimalis yang menyerupai Staria dengan lampu LED diposisikan pada bawah penutup enjin secara melintang, jeriji atas diapit dengan lampu LED (atau halogen bagi varian murah) serta lampu nyalaan belakang dengan rekaan huruf H di bahagian belakang.

Rekaan yang ditampilkan adalah agak luar biasa daripada jenama Jepun, kelihatan agak futuristik terutama dengan tema lampu LED DRL depan yang dipasang secara melintang. Rekaan ini diperkuatkan lagi dengan tema rekaan sport rim bersaiz 16 inci

5. Hanya ada satu pilihan enjin sahaja yang ditawarkan iaitu enjin Smartstream G 1.5 MPi 1500cc yang menjana sekitar 113 kuasa kuda dan 144Nm tork. Tapi Stargazer akan ditawarkan dengan 2 pilihan transmisi bagi pasaran Indonesia samaada automatik Intelligent Variable Transmission (dengan ciri manual) atau manual 6 kelajuan. Semua kuasa enjin dihantar ke roda depan.

6. Untuk tetapan cesi, roda depan menggunakan Topang McPherson manakala roda belakang menerima Coupled Torsion Beam, brek cakera 15 inci dan brek drum untuk roda belakang. Stering pula akan menggunakan stering bantuan kuasa elektrik dan ciri teleskopik

7. Terdapat 2 pilihan tempat duduk yang boleh dipilih samaada 6 tempat duduk dengan aturan 2+2+2 atau 7 tempat duduk dengan susunan 2+3+2. Bagi pilihan 6 tempat duduk, barisan kedua menggunakan kusyen ala-ala kapten dengan perehat tangan.

8. Antara ciri terkini yang dipasang pada Stargazer termasuklah paparan meter digital 4.2 inci TFT, penyaman udara dengan suis digital, pengecaj telefon pintar tanpa wayar, lampu kabin untuk waktu malam, penyaman udara untuk penumpang belakang, dan perehat tangan dengan ruang simpanan.

Stargazer juga akan dipasang dengan soket 12 volt, 3 poin USB, butang mula penghidup, meja lipat untuk penumpang barisan kedua dan juga kamera mengundur.

9. Dalam aspek keselamatan, Stargazer dipadankan dengan ciri-ciri pintar merangkumi Forward collision Warning, Lane Following Assist, High Beam Assist, Lane Keep Assist, Blind Spot Collision Avoidance Assist, Rear Cross Traffic Alert with Avoidance Assist, Tyre Pressure Monitoring System serta 6 beg keselamatan udara

10. Bagi pasaran Indonesia, Stargazer akan dilengkapkan dengan ciri tambahan seperti Hyundai Bluelink bagi bantuan kecemasan, 4 tahun jaminan atau 100,000km perjalanan, 5 tahun servis percuma sehingga 75,000km dan alat ganti percuma sehingga 60,000km bagi menarik perhatian pembeli

Sekiranya dibawa masuk ke Malaysia, sudah tentu ia akan memberikan saingan yang sengit pada Mitsubishi Xpander, Toyota Veloz, Perodua Alza, dan Honda BR-V jika diposisikan dengan harga yang berpatutan,

Google ads
Back to top button