
300 UNIT PERTAMA HYUNDAI STARGAZER TIBA DI MALAYSIA, LANCAR TAK LAMA LAGI
Hyundai Motor Malaysia (HMY) mengumumkan ketibaan kumpulan pertama sebanyak 300 unit Hyundai STARGAZER ke Malaysia sebagai persediaan menjelang pelancaran rasmi model MPV baharu itu dalam masa terdekat.
Penghantaran awal tersebut merangkumi ketiga-tiga varian yang bakal ditawarkan kepada pelanggan tempatan iaitu Style, Prime dan X.
Ketibaan unit-unit berkenaan menandakan fasa akhir persiapan HMY sebelum model itu diperkenalkan secara rasmi ke pasaran Malaysia.

Dibangunkan sebagai sebuah MPV moden untuk kegunaan keluarga dan individu yang menjalani gaya hidup aktif, STARGAZER direka bagi memenuhi keperluan perjalanan harian, aktiviti hujung minggu serta pelbagai urusan seharian dengan lebih praktikal dan selesa.
Model ini menggabungkan reka bentuk luaran yang moden dengan ruang kabin yang luas serta pelbagai ciri yang memberi tumpuan kepada keselesaan penumpang.
Pendekatan tersebut selari dengan usaha Hyundai untuk menawarkan pengalaman mobiliti yang lebih mesra pengguna dan sesuai untuk pelbagai keperluan.

Sebelum ini, varian Style dan Prime telah dipertontonkan kepada umum semasa Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026, manakala varian X versi Indonesia pula dipamerkan ketika acara jualan Durian Runtuh yang berlangsung di Stadium MBPJ bulan lalu.
Dengan ketibaan kumpulan pertama kenderaan tersebut, pelanggan yang telah membuat tempahan kini semakin hampir untuk menerima kenderaan masing-masing.
Hyundai Motor Malaysia dijangka mengumumkan maklumat lanjut berkaitan spesifikasi, harga dan pakej pemilikan semasa pelancaran rasmi model itu nanti.




