" "
Buletin

PESAING PERODUA ALZA DAN TOYOTA VELOZ, HYUNDAI STARGAZER MUNCUL DI MALAYSIA. HARGA LEBIH RM100K?

Baru-baru ini, timbul beberapa gambar Hyundai Stargazer di Malaysia. Ini sekali gus ia memberi petanda bahawa pesaing Perodua Alza, Mitsubishi Xpander dan Toyota Veloz itu akan berada di pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Dari segi penampilan, Stargazer kelihatan seperti Staria terutama dengan jalur lampu nyalaan siang LED yang merentangi sepenuhnya bahagian hadapan.

Stargazer mempunyai ukuran dimensi 4,460mm panjang, 1,780mm lebar dan 1,695mm tinggi dengan jarak roda 2,780mm.

Untuk ciri dan spesifikasi, kita mungkin boleh melihat pada Stargazer yang diperkenalkan di oleh PT Hyundai Motors di Indonesia pada Julai lalu. Di sana, ada empat varian ditawarkan iaitu Active, Trend, Style dan Prime.

Varian Active hadir dengan lampu utama reflektor halogen, kluster instrumen LCD bersaiz 3.5 inci, skrin sentuh infotainmen bersaiz lapan inci, empat unit pembesar suara, kerusi dibalut fabrik, dua beg udara serta rim 15 inci.

Sementara varian Trend mendapat penambahan telematik Bluelink, sensor parkir dan dipadankan dengan rim 16 inci.

Varian Style pula dilengkapi lampu utama reflektor LED, kawalan jelajah, kluster instrumen lebih besar, larasan stereng teleskopik, enam unitpembesar suara, ESC, bantuan mula mendaki, sistem pemantauan tekanan tayar, kamera undur, sistem tanpa kunci serta banyak lagi.

Varian Prime ditambah dengan kerusi balutan kulit, lampu ambien, penambahan empat beg udara, serta sistem keselamatan aktif seperti AEB, amaran perhatian pemandu, bantuan mengekalkan lorong, bantuan mengikuti lorong, bantuan titik buta dan bantuan penghindaran perlanggaran trafik di belakang.

Semua varian Stargazer dikuasakan oleh enjin 1.5L aspirasi biasa Smartstream G dan dipadankan dengan kotak gear 6MT/IVT (CVT). Ia mampu menghambur kuasa 113hp dan tork 143.8Nm.

MPV itu juga dilengkapi empat mod pemanduan iaitu ECO, Normal, Sport dan Smart. Memandangkan laman web rasmi tidak mengeluarkan angka pecutan, prestasi pemanduan sebenar tidak diketahui sehingga kereta sampai untuk dipandu uji.

Meskipun Stargazer tidak tersenarai dalam teaser model baharu 2023, terdapat khabar angin mengatakan ia akan dipasang secara tempatan dan harga pra-jualan mungkin melebihi RM100,000. – Automachi

GALERI:

Google ads
Back to top button