
HYUNDAI STARGAZER RASMI DILANCARKAN – JANA 115PS, 144NM TORK, HARGA MULA RM99K
Hyundai Motor Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan Stargazer untuk pasaran tempatan, ditawarkan dalam tiga varian iaitu Style, Prime dan X dengan setiap satu menerima kelengkapan yang berbeza mengikut tahap varian.
Model ini dilengkapi enjin Smartstream Gamma II 1.5L MPI bersama transmisi Intelligent Variable Transmission (IVT), menghasilkan kuasa maksimum 115PS dan tork puncak 144Nm.
Antara ciri utama yang ditawarkan termasuk rim aloi 16-inci, lampu hadapan LED, kluster instrumen 4.2 inci, sistem infotainmen lapan inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta kamera pandang belakang.

Dari aspek keselamatan, ia hadir dengan sistem ABS, ESC, BAS, HAC, ESS dan VSM sebagai kelengkapan standard.
Bagi varian Prime, Hyundai menambah baik pakej kelengkapan menerusi rim aloi potongan berlian (diamond-cut) 17-inci dan brek cakera belakang.
Ruang kabin pula menerima kluster instrumen digital 10.25-inci, skrin infotainmen 10.25-inci serta kemasan tempat duduk gabungan fabrik dan kulit tiruan.

Ciri keselamatan turut dipertingkatkan dengan, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), Rear Occupant Alert serta pakej bantuan pemandu Hyundai SmartSense.
Sementara itu, varian tertinggi X tampil dengan identiti lebih sporty menerusi rim aloi hitam berkilat, kit badan X Package, emblem hitam dan rel bumbung jenis bridge.
Di bahagian dalaman, ia dilengkapi tempat duduk balutan kulit tiruan, tempat duduk kapten untuk barisan kedua, konsol tengah terapung (floating centre console), pemilih gear Shift-by-Wire, paddle shifter, pengecas telefon pintar tanpa wayar serta perakam video digital (Digital Video Recorder).

Beralih pada harga pula, Hyundai Motor Malaysia mengumumkan harga rasmi bagi STARGAZER baharu yang ditawarkan dalam tiga varian iaitu Style pada harga RM99,800, Prime (RM109,800) dan X (RM121,800).
Bagi menarik minat pembeli awal, Hyundai menawarkan pakej promosi Early Bird bernilai RM4,600 yang merangkumi waranti selama lapan tahun atau sehingga 160,000 kilometer, servis percuma sebanyak lapan kali atau sehingga empat tahun, ganjaran All-Star bernilai RM1,000 untuk pemilik sedia ada Hyundai serta yuran tempahan serendah RM88.
Selain itu, Hyundai turut memperkenalkan program Resale Value Protection yang menjamin nilai jualan semula kenderaan sehingga 70 peratus pada tahun ketiga (maksimum 60,000 km), 60 peratus pada tahun keempat (maksimum 80,000 km) dan 50 peratus pada tahun kelima (maksimum 100,000 km), tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
GALERI:




























