
TEMPAHAN HYUNDAI STARGAZER DIBUKA – JANA 115PS, ANGGARAN HARGA BERMULA RM99K
Hyundai Motor Malaysia (HMY) hari ini telah menampilkan pratonton eksklusif model MPV terbaharunya, Hyundai STARGAZER, yang kini dibuka untuk tempahan awal.
Direka sebagai MPV keluarga moden, Hyundai STARGAZER tampil dengan rekaan lebih futuristik dan aerodinamik, selain menampilkan lampu LED belakang penuh melintang yang menjadi identiti terbaharu Hyundai.
Hyundai turut memperkenalkan varian STARGAZER X yang membawa imej lebih lasak menerusi elemen gaya SUV seperti bampar sporty, spoiler belakang, roof rail jenis bridge, overfender dan kemasan logo Hyundai berwarna hitam.
Dari sudut luaran, semua varian STARGAZER didatangkan dengan lampu utama LED penuh bersama fungsi Auto Headlight serta lampu nyalaan siang LED (DRL).

Untuk varian X, Hyundai menambah beberapa sentuhan lebih sporty termasuk bampar hadapan dan belakang khas, spoiler belakang sporty, roof rail jenis bridge serta emblem Hyundai berwarna hitam bagi menyerlahkan karakter lebih agresif dan moden.
Bahagian kabin pula dibangunkan dengan fokus terhadap keselesaan keluarga serta kepraktisan penggunaan harian.
Varian Style dan Prime menggunakan konfigurasi tempat duduk baris kedua jenis lipatan 60:40, manakala varian X hadir dengan captain seat baris kedua bersama fungsi lipatan 50:50.
Sistem infotainmen pula merangkumi paparan sentuh 8-inci untuk varian Style dan paparan lebih besar 10.25-inci bagi varian Prime dan X. Dari segi audio, varian asas menerima sistem empat pembesar suara sementara varian lebih tinggi dilengkapi enam pembesar suara.
Hyundai turut menambah beberapa ciri praktikal dalam kabin seperti konsol tengah terapung dengan dulang boleh tanggal, ruang simpanan bawah lantai but serta meja lipat belakang tempat duduk baris kedua untuk varian Prime dan X.
Dari aspek pemanduan, STARGAZER menggunakan enjin 1.5-liter Smartstream bersama transmisi Intelligent Variable Transmission (IVT). Nadi berkenaan menghasilkan kuasa 115PS @6,300rpm dan 143.8Nm @4,500rpm.

Varian Prime dan X turut menerima Electronic Parking Brake (EPB) dengan Auto Hold, sistem pendingin hawa automatik penuh, Smart Cruise Control serta fungsi Remote Start bersama Smart Key.
Ciri keselamatan turut dipertingkat menerusi penawaran Hyundai SmartSense ADAS untuk varian Prime dan X.
Antara sistem bantuan pemandu yang disediakan termasuk;
- High Beam Assist (HBA)
- Forward Collision-Avoidance Assist (FCA)
- Lane Keep Assist (LKA)
- Lane Following Assist (LFA)
- Driver Attention Warning (DAW)
- Leading Vehicle Departure Alert (LVDA)
- Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA)
- Safe Exit Assist (SEA)
Dari segi beg udara, varian Style menerima dua beg udara manakala Prime dan X dilengkapi enam beg udara.

Hyundai Motor Malaysia turut menawarkan pakej nilai tambahan bernilai RM4,600 kepada pelanggan terawal yang membuat tempahan. Tawaran itu merangkumi:
- Waranti 8 tahun / 160,000 km
- Servis percuma sehingga 8 kali atau 4 tahun
- Ganjaran All-Star RM1,000 untuk pemilik Hyundai sedia ada
- Yuran tempahan serendah RM88
- Terhad kepada 800 pelanggan pertama
Untuk harga, model ini akan ditawarkan dalam tiga pilihan varian dengan harga anggaran seperti berikut:
- STARGAZER Style 7-tempat duduk – bermula RM99K
- STARGAZER Prime 7-tempat duduk – bermula RM109K
- STARGAZER X 6-tempat duduk – bermula RM121K
GALERI:




















