Buletin

INDONESIA PERTIMBANG BELI MINYAK DARI RUSIA, PERTAMINA KAJI RISIKO

Presiden Indonesia, Joko Widodo sedang mempertimbangkan untuk menyertai India dan China dalam membeli minyak dari Rusia bagi meredakan tekanan akibat peningkatan kos tenaga, lapor Financial Times.

“Kami sentiasa memantau semua pilihan dan berharap ada negara memberikan harga yang lebih baik,” kata Widodo ketika ditanya sama ada Indonesia akan membeli minyak dari Rusia.

Awal bulan ini, Jokowi menaikkan harga bahan api bersubsidi sebanyak 30 peratus dan berkata kenaikan harga itu adalah pilihan terakhirnya kerana tekanan fiskal. Langkah itu mencetuskan bantahan di seluruh negara yang mempunyai 270 juta orang penduduk.

Sebarang langkah untuk membeli minyak mentah Rusia pada harga melebihi had yang dipersetujui oleh negara G7 boleh menyebabkan Indonesia dikenakan sekatan daripada Amerika Syarikat.

Pada Ogos, Menteri Pelancongan Indonesia, Sandiaga Uno berkata republik itu telah ditawarkan diskaun sebanyak 30 peratus untuk minyak mentah Rusia. Justeru, syarikat minyak Indonesia Pertamina berkata mereka sedang mengkaji risiko membeli minyak Rusia.

Indonesia, ekonomi terbesar di Asia Tenggara mencatatkan kadar inflasi tahunan sebanyak 4.69 peratus pada Ogos, melebihi julat sasaran bank iaitu 2 peratus hingga 4 peratus untuk bulan ketiga berturut-turut berikutan harga makanan yang mahal. – malaymail

Google ads
Back to top button