Buletin

APA NASIB KAPAL PERSIARAN MEWAH SELEPAS 20 TAHUN? JADI HOTEL, RESTORAN ATAU DILERAIKAN?

Kapal persiaran sentiasa mengagumkan. Selain mampu memuatkan beribu penumpang, ia turut memiliki restoran, kedai, ruang teater, kasino atau rollercoaster.

Di sebalik semua kemudahan dan kemewahan itu, wujud tekanan untuk mengemas kini terutama dari segi teknologi baharu, selain penggunaan perabot yang sesuai dengan konsep semasa.

Persoalan timbul apabila kapal persiaran tersebut tidak diperlukan lagi, ke manakah ia akan ditempatkan? Terdapat beberapa pilihan apabila kapal persiaran diberhentikan perkhidmatan, misalnya dijual kepada syarikat pelayaran lain. Sebagai contoh, kapal Marella Celebration yang pada asalnya dibina untuk Holland America pada tahun 1984 kemudian dijual kepada TUI dan Marella Cruises.

Kapal terbaru Olsen Bolette dan Borealis yang membuat penampilan sulung pada awal 2021, dibeli daripada Holland America sebelum diperbaharui.

Tahun lepas juga menyaksikan Carnival Cruises mengumumkan ia telah menjual dua kapal mereka, Carnival Fascination dan Carnival Imagination.

Princess Cruises pula menjual dua kapal milik mereka, Sun Princess. Manakala Royal Caribbean telah menjual kapal Empress of the Seas dan Majesty of the Seas.

Alternatif kedua yang menjadi pilihan ialah mengubah suai kapal tersebut kepada hotel atau tempat tarikan pelancong. Kapal Queen Elizabeth 2 milik Cunard misalnya kini dijadikan hotel terapung di Dubai.

Manakala barisan kapal Queen Mary yang dihentikan perkhidmatannya pada tahun 1960-an, telah berlabuh secara kekal di Long Beach di California. Ia kini terkenal sebagai tempat tumpuan pelancong kerana lengkap dengan restoran dan muzium.

Lebih menarik lagi, kapal Black Watch dan Boudicca baru-baru ini dilaporkan akan bertukar menjadi hotel, namun ia tidak terbuka untuk orang ramai.

Selepas berkhidmat selama 10 hingga 20 tahun, pastinya kapal persiaran berusia tidak lagi sesuai digunakan. Selain sistem yang semakin lapuk, faktor keselamatan juga mesti diambil kira, tetapi tidak mudah untuk menempatkan kapal tersebut apatah lagi yang bersaiz besar.

Kapal persiaran dalam kategori ini selalunya akan dijual kepada pihak ketiga di mana ia akan dileraikan dan alat gantinya dijual.

Proses itu biasanya mengambil masa sekitar enam hingga lapan bulan. Terdapat beberapa lokasi ‘perkuburan’ kapal persiaran di seluruh dunia. Antaranya terletak di Alang, India, Chittagong di Bangladesh dan Aliaga di Turki.

Google ads
"
"
Back to top button