Buletin

INGKAR PENJARAKAN SOSIAL, PESALAH DIHUKUM BASUH TANDAS

Rakyat Indonesia yang melanggar peraturan penjarakan sosial di ibu kota Jakarta akan berdepan dengan hukuman membasuh tandas.

Membasuh tandas menjadi antara senarai hukuman dalam peraturan baharu yang bertujuan memerangi jangkitan COVID-19 di kota raya berkenaan.

Keluar dari rumah tanpa memakai penutup muka boleh didenda sebanyak 250,000 rupiah (RM73). Manakala penduduk yang berhimpun di khalayak ramai boleh dihukum membersihkan kemudahan awam termasuk tandas sambil memakai ves tertera label ‘pelanggar peraturan.’

Berdasarkan peraturan baharu, syarikat yang tidak mengendahkan arahan penutupan atau melanggar peraturan kesihatan awam pula boleh didenda sehingga 50 juta rupiah (RM14,500).  

Jakarta yang memiliki kira-kira 30 juta penduduk mengenakan perintah berkurung tidak sepenuhnya sejak bulan lalu apabila kes jangkitan COVID-19 meningkat dengan mendadak.

Beberapa bandar di Indonesia turut mengenakan sekatan hampir sama. Namun pelanggaran peraturan berlaku secara berleluasa.

Kematian akibat COVID-19 di Indonesia dilihat terus melonjak kepada 1,007 kes dengan hampir 14,749 kes positif.

Namun, jumlah itu dipercayai lebih tinggi berbanding angka rasmi. – Berita Harian foto: AFP

Google ads
Back to top button