
PKP 3.0: SURAT 7 KEMENTERIAN, 3 AGENSI KERAJAAN SAHAJA YANG LAKU
Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya menerima pakai surat pengesahan pekerja yang dikeluarkan tujuh kementerian dan tiga agensi kerajaan sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tujuh kementerian itu merangkumi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).
Katanya, surat pengesahan dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga diterima, selain Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk pengamal perundangan.
“PDRM turut menerima pakai surat pengesahan dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi sektor kewangan dan insurans, Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang berkaitan sektor urus niaga saham.
“Turut diterima pakai, surat pengesahan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi sektor peniaga kecil dan penjaja gerai makanan serta kenderaan saji.
“Bagi pengeluaran lesen berniaga pengurusan sisa pepejal dan sanitasi, surat pengesahan akan dikeluarkan MITI melalui Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) 3.0,” katanya.
Surat pengesahan berkenaan adalah bukti membolehkan pekerja melepasi sekatan jalan raya bagi pergerakan dari kediaman ke tempat kerja membabitkan sektor yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh dua minggu fasa pertama sekatan pergerakan penuh hingga 14 Jun.
“Semua surat pengesahan itu mesti bertarikh 1 Jun 2021 dan mereka yang tiada surat pengesahan atau sudah tamat tempoh (sebelum 1 Jun) akan diarah berpatah balik.
“PDRM akan mengeluarkan permit pergerakan bagi mereka yang layak mengikut peraturan rentas sempadan iaitu untuk ziarah kematian, kecemasan dan bekerja sendiri,” katanya.
Acryl Sani berkata, mereka yang bekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggaraan dan penjaja tepi jalan tanpa majikan boleh memohon kebenaran bergerak PDRM secara ‘one off’ (1 Jun-14 Jun).
Bagi pekerja di sektor tidak dibenarkan beroperasi tetapi perlu ke tempat kerja bagi tujuan khusus seperti penyediaan dokumen atau invois pembayaran gaji, katanya, kebenaran akan diberi secara ‘one off’ bagi tempoh dua hingga tiga hari.
“Bagaimanapun, kita memerlukan surat pengesahan majikan sebagai bukti,” katanya.
Katanya, mereka yang mengemukakan surat pengesahan palsu akan dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). –BH