" "
Buletin

PENGINGKAR PKP DI JAWA TENGAH, INDONESIA DIKUARANTIN DI DALAM RUMAH BERHANTU

Pihak berkuasa daerah Sragen, Jawa Tengah Indonesia nyata mempunyai cara unik untuk menghukum mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan dengan pulang ke kampung halaman. 

Menurut laporan Detik News, Ketua pemerintah Sragen, Kusdinar Untung Yuni Sukowati pihaknya meminta Ketua Kampung Miri, Sragen, membersihkan sebuah rumah berhantu di tengah sawah sebagai tempat kuarantin bagi penduduk yang keras kepala.

“Kalau memang degil silakan. Saya menerima laporan ada penduduk dari dua buah kampung ingkar. Satu di Plupuh dan satu lagi di kampung Sepat yang enggan dikuarantin.

“Saya minta pihak berkaitan tempatkan mereka di rumah hantu. Tetapi makanan dan kesihatan mereka akan dipantau. 

Di Indonesia, rumah-rumah lama yang tidak dihuni dan terbengkalai sering dikaitkan dengan kisah mistik. 

Sukowati mengeluarkan arahan itu selepas orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung akibat bandar besar seperti Jakarta ditutup. Namun, ada segelintir daripada mereka yang baru pulang itu tidak mengendahkan arahan kuarantin selama 14 hari dalam usaha memutuskan rantaian penyebaran COVID-19. 

“Jika ada rumah kosong dan berhantu, letak dan kunci mereka di dalam,” tegas Sukowati. 

Antara yang menerima hukuman pelik itu ialah Heri Susanto. Dia mengakui setakat ini belum terserempak dengan hantu atau pengalaman yang menakutkan. 

“Kalau terjumpa, tidak boleh buat apa-apa. Saya sedar hukuman ini adalah untuk menjaga keselamatan orang ramai. Ini pengajaran untuk saya,” kata Heri yang berasal dari pulau Sumatera. – AFP

Google ads
Back to top button