Buletin

AIRASIA INDONESIA DILARANG LAKUKAN PENERBANGAN KE KLIA2 DAN JB 18 MEI DEPAN

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Indonesia tidak dibenarkan untuk membuat penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Johor Bahru pada 18 Mei ini.

Ketegasan itu dinyatakan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hariannya sebentar tadi. Ismail Sabri menyatakan kerajaan setakat ini tiada perancangan untuk membuka sempadan negara. 

Kenyataan itu dibuat selepas AirAsia Indonesia mengumumkan bahawa ia akan memulakan semula penerbangan dari Surabaya ke Kuala Lumpur dan Johor pada 18 Mei depan. Menurut laporan Jakarta Post, Presiden AirAsia Indonesia, Veranita Yosephine memberitahu langkah itu dibuat berikutan kes jangkitan COVID-19 di Malaysia semakin menurun.   

Buat masa sekarang, kerajaan kekal dengan dasar tidak membenarkan warga asing memasuki negara ini, hanya rakyat Malaysia sahaja yang dibenarkan.

“Saya baru bercakap dengan AirAsia, mereka kata tidak ada. Saya maklumkan kepada mereka, kalau tiada, Alhamdulilah bagus. Tetapi kalau ada kita tidak akan benarkan yang bukan warga negara untuk masuk ke negara kita.

“Yang boleh mereka bawa dari Indonesia atau mana-mana negara lain adalah warga negara Malaysia saja,” katanya. Warga negara yang masuk ke Malaysia kemudian akan dikenakan kuarantin wajib selama 14 hari.

AirAsia Indonesia telah membataljan semua penerbangannya sejak 1 April kerana kurang penumpang. Terutama selepas pemerintah republik itu mengarahkan rakyat tinggal di rumah sahaja. – Astro Awani, Harian Metro, MalayMail

Google ads
Back to top button