Buletin

TRELER TERBALIK, 3 KERETA PERODUA MASUK SUNGAI

Sekurang-kurangnya tiga buah kereta dipercayai model Perodua Axia dan Myvi terjatuh ke dalam sungai selepas treler pengangkutnya terbabas di Kilometer 52, Jalan Betong-Sarikei di Saratok, semalam.

Treler itu dikatakan mengangkut tujuh kereta baru dan dua terpakai.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, ketika kejadian treler itu dalam perjalanan dari Kuching ke Bintulu.

Ketika tiba di lencongan (projek Pan Borneo), treler itu hilang kawalan lalu terlanggar pembahagi jalan sebelum terbabas ke cerun jalan.

“Pelanggaran itu menyebabkan ada kereta yang terjatuh ke sungai. Semua kereta terbabit mengalami pelbagai kerosakan,” katanya dihubungi.

Pemandu treler berusia 49 tahun bagaimanapun selamat. “Kerja-kerja menaikkan treler serta sembilan kereta itu selesai jam 3.30 petang tadi,” kata Alexson. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button