
PKP BERTERUSAN, UMW TOYOTA LUAH KEBIMBANGAN. TIADA JUALAN, PELANGGAN LUAR NEGARA MUNGKIN CARI PEMBEKAL LAIN
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan sejak 1 Jun 2021 menyebabkan banyak operasi sektor perniagaan perlu ditutup. Hal ini telah memberi kesan kepada sektor automotif, mengakibatkan jualan kenderaan baru seluruh industri merudum sepanjang Jun.
Mengulas situasi berkenaan, Presiden UMW Toyota Motor (UMWT), Ravindran K. berkata, penutupan berterusan semua bilik pameran Toyota dan Lexus di seluruh negara bermakna tiada perniagaan yang boleh dilakukan. Dalam masa sama, pengeluaran kenderaan termasuk usaha rantaian bekalan serta logistik juga perlu dihentikan sementara.
Walaupun menerima langkah kerajaan itu adalah demi kebaikan negara, namun ia hadir dengan cabaran tersendiri buat syarikat.
“Kami masih mempunyai banyak tempahan yang menggalakkan untuk pelbagai model. Walaupun begitu, kami berharap agar larangan pergerakan dapat dilonggarkan untuk membolehkan kami beroperasi dalam kapasiti terhad dan selamat. Kami sentiasa mematuhi semua SOP yang ditetapkan, seperti yang telah ditunjukkan tahun lalu,” ujarnya.

Biarpun bilik pameran ditutup, pelanggan masih boleh mendapatkan perincian berkaitan model-model Toyota dan Lexus melalui laman web toyota.com.my dan lexus.com.my. Mereka boleh mengetahui lebih lanjut tentang model-model yang ditawarkan serta pelan pembiayaan menarik bagi keperluan berbeza. Tempahan juga boleh dilakukan secara dalam talian.
Ravindran K. mengingatkan pelanggan berkaitan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang telah dilanjutkan hingga penghujung 2021 ini. Melibatkan model import dan pemasangan tempatan model Toyota dan Lexus, ia jelas memberikan penjimatan yang menguntungkan pelanggan.
“Kami galakkan pelanggan untuk membuat tempahan secara dalam talian. Ini kerana ia membolehkan kami merancang pengeluaran di dua kilang pemasangan untuk mengurangkan tempoh menunggu sebaik sahaja larangan pergerakan ini ditamatkan. Malah, pelanggan memanfaatkan insentif kewangan yang ada ketika ini,” katanya lagi.
Sokongan lepas jualan terpilih masih ada
Beberapa pusat servis UMW Toyota Motor terpilih terus beroperasi mengikut peraturan seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang untuk memastikan pemilik kenderaan boleh mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan. Bantuan 24/7 juga tersedia dan boleh didapati dengan menghubungi talian 1-800-888-247 (Toyota) dan 1800-225- 3987 (Lexus).
Pelanggan dinasihatkan supaya menghubungi pusat servis terlebih dahulu untuk membuat temujanji. Sebaik sahaja tiba di premis, semua langkah keselamatan telah diambil untuk menjamin kesihatan dan keselamatan semua yang terlibat.

Kesan larangan berterusan
“Walaupun kerajaan telah merangka Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke dalam empat fasa, Selangor masih lagi dalam Fasa 1, dengan larangan yang paling ketat. Keadaan semasa juga tidak membolehkan perancangan pemulihan berjalan mudah,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.
Perniagaan eksport turut akan terkesan memandangkan anak syarikat terlibat mengeksport dalam jumlah yang besar komponen automotif sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global Toyota. Jika situasi ini berlarutan, Toyota khuatir pelanggannya di negara luar akan mencari pembekal lain, memandangkan mereka tidak boleh menangguhkan pengeluaran hanya kerana gangguan bekalan dari Malaysia.
Ini akan memberi kesan langsung kepada ekonomi negara disebabkan keseluruhan perniagaan eksport menurun.
Sementara itu, UMW TOyota Motor pada awal bulan ini telah mengumumkan pelaburan tambahan untuk memperluaskan lagi usaha ke arah neutraliti karbon melalui pengeluaran kenderaan elektrik hibrid. Ia juga memberi isyarat bahawa dengan larangan yang berpanjangan ke atas kilangnya akan memberi kesan kepada rancangan berkenaan.