Artikel Pilihan

INI SEBAB SEBENAR FORD TAK LAGI JUAL SEDAN…..

Sejak model sedan Ford Fusion dihentikan pada 2020, dan disusuli dengan penamatan model sedan Ford Taurus setahun lebih awal, Ford secara rasminya tidak lagi menjual sebarang model sedan di Amerika Syarikat. Nama-nama besar yang pernah jadi kegemaran ramai seperti Fiesta dan Focus turut disimpan dalam muzium.

Sekiranya anda mencari sedan buatan Ford, hanya ada satu model sahaja yang tinggal iaitu Ford Mustang. Situasi ini membuatkan ramai tertanya-tanya kenapa Ford menghentikan jualan sedan, sedangkan model-model ni dulu laku keras?

Jawapannya agak jujur dan mengejutkan. Dalam satu temubual bersama Automotive News, CEO Ford, Jim Farley, menjelaskan keputusan ini bukan sebab tiada permintaan tapi sebab Ford tidak boleh membuat keuntungan selesa dalam segmen sedan.

“Pasaran sedan sebenarnya masih ada, bukan tak ada pasaran. Cuma kami tak jumpa cara untuk bersaing dan pada masa sama kekal untung. Mungkin satu hari nanti kami akan jumpa caranya.”

Sedan ‘Mati’ Di Amerika, Tapi Hidup Di Tempat Lain

Walaupun Ford seakan-akan menghentikan sedan di Amerika, hakikatnya mereka tak betul-betul membunuh segmen ini. Sebagai contoh di Timur Tengah, Ford masih menjual Ford Taurus 2026, sebuah sedan bersaiz sederhana.

Di China pula, kereta yang sama dijual dengan nama Ford Mondeo iaitu nama lama yang pernah digunakan di Eropah untuk Fusion, walaupun saiznya lebih dekat dengan Taurus generasi lama. Ini bermakna Ford masih menjual sedan, cuma bukan untuk pasaran Amerika dan Asia Tenggara

Fiesta & Focus Gugur Bukan Sebab Orang Tak Suka

Kes Fiesta dan Focus pun hampir sama. Jim Farley mengakui kedua-dua model ini memang disukai ramai pelanggan, tetapi masalahnya tetap sama iaitu tidak menguntungkan Ford.

Ford Amerika sendiri tak pernah terima generasi terakhir Fiesta dan Focus hatchback. Fiesta dihentikan secara global pada 2023, manakala Focus menyusul pada 2025. Untuk rekod, Focus generasi keempat sebenarnya masih ditawarkan dalam versi sedan dan wagon sebelum produksinya berakhir pada November 2025.

Secara tak langsung, model popular seperti Focus dianggap tak cukup ‘ikonik’ untuk memberikan keuntungan. Strategi ini juga menimbulkan persoalan, adakah Ford akan meluaskan konsep “ikonik” ini kepada model seperti Mustang empat pintu yang digelar Mach 4, yang khabarnya sedang dipertimbangkan?

Ford Nak Kereta Lebih Murah, Tapi Bukan Versi Kedekut

Dalam masa yang sama, Pengerusi Eksekutif Ford, Bill Ford, menegaskan fokus Ford terhadap kereta mampu milik bukan sekadar membuang aksesori atau mengurangkan spesifikasi. Sebaliknya, Ford sedang cuba menghasilkan kenderaan dari asas yang memang kosnya lebih rendah, supaya penjimatan itu boleh terus dinikmati pengguna.

Google ads
Back to top button