
KENAPA HARGA EV TERPAKAI JATUH MENJUNAM?
Kereta elektrik sering dibayangkan sebagai kenderaan masa depan yang lebih bersih, mesra alam, senyap dan lebih sesuai untuk kelestarian alam berbanding kereta petrol atau diesel. Tapi apabila berada di pasaran sebenar, satu perkara yang kami perhatikan ialah resale value (harga jualan semua unit terpakai) EV memang jatuh teruk.
Ramai pemilik terkejut apabila hendak menjual semula kereta elektrik yang telah digunakan beberapa tahun, harga terpakai EV jatuh mendadak seperti terjun tiruk dalam kolam hotel. Kami cuba mengenalpasti kenapa isu ini boleh terjadi.
1. Teknologi EV bergerak terlalu pantas – sangat pantas sehinggakan model yang baru berusia 2 tahun nampak ketinggalan seperti 10 tahun. Teknologi EV seperti menjadi seperti telefon pintar dimana setiap beberapa bulan ada sahaja perkembangan positif .
Sebagai contoh bateri semakin cekap, BMS semakin pintar, jarak pemanduan menjadi lebih jauh dan kelajuan pengecasanbertambah baik. Kalau EV lima tahun lepas yang ada jarak pemanduan sekitar 300 km dulu nampak canggih, tapi EV baru hari ini sudah boleh dipandu sejauh 500 hingga 600 km dengan DC charging yang jauh lebih cepat. Walaupun EV lama fizikalnya masih cantik dan dijaga rapi, dari sudut teknologi ia terus nampak ketinggalan.
2. isu teknikal berkaitan bateri – masih menjadi penghalang dalam pasaran kereta terpakai. Secara teknikal bateri EV boleh bertahan 8 hingga 10 tahun, dan kebanyakannya datang dengan jaminan selama 8 tahun atau 160,000 km.
Tetapi pembeli unit terpakai tetap risau berkenaan kos penggantian bateri. Walaupun kes ini jarang berlaku, akan tetapi kos bateri yang boleh mencecah RM40,000 hingga RM100,000 ke atas cukup untuk menakutkan pembeli. Persepsi inilah yang akhirnya membunuh resale value EV.
3. EV baru makin murah – kejatuhan harga EV unit baru sendiri makin murah dari tahun ke tahun. Dengan pelbagai insentif kerajaan seperti pengecualian duti import dan eksais (berakhir Disember 2025), promosi pihak penjula, ditambah pula kemasukan jenama China yang agresif, harga EV menjadi mampu milik.
Sebagai contoh dengan kemasukan Proton E.Mas 5 pada harga sekitar harga sebuah Perodua MyVi, ini memang menjadi petanda yang EV sebenarnya menjadi semakin mampu milik
4. Pasaran EV terhad – permintaan pasaran untuk EV masih lagi terhad dan tidak semua orang sesuai menggunakan EV. Ramai pembeli yang “berminat” masih tinggal di apartment atau kondominium lama yang tiada kemudahan pengecasan. Apabila terlalu bergantung pada pengecasan awam atau DC Fast, kos penggunaan akan meningkat
5. EV tiada jiwa – Kereta dengan enjin samaada petrol atau diesel masih ada bunyi enjin, karakter pemanduan tersendiri, sejarah jenama dan rasa mekanikal yang buat orang jatuh cinta. EV pula adalah senyap, dengan pecutan bisu yang hampir sama antara satu sama lain, dan pengalaman memandu selalunya terasa hambar.
Ia ibarat telefon pintar yang beroda 4, praktikal, cekap, tapi kurang sentuhan jiwa. Apabila tiada elemen emosi maka EV menjadi sukar untuk menjadi barangan hobi collectible, dan ini secara langsung menekan nilai jualan semula.
6. Perisian, BMS dan sokongan jangka panjang – Model EV lama mungkin tidak lagi menerima kemas kini software terbaru, menyebabkan fungsi tertentu boleh jadi ketinggalan, dan ada jenama yang berisiko keluar terus daru pasaran selepas gagal mengaut keuntungan
Untuk pembeli unit terpakai, persoalan yang timbul bukan lagi soal prestasi, tapi lebih kepada sokongan teknikal, alat ganti, servis dan baik pulih kenderaan selepas kemalangan.
Kesimpulannya, pasaran EV sebenarnya masih belum matang sepenuhnya untuk Malaysia walaupun permintaan semakin meningkat setiap tahun. Infrastruktur pengecasan masih berkembang tetapi perlahan, peralihan pengguna berlaku perlahan, dan untuk Malaysia pula, harga minyak masih lagi murah. Selagi faktor-faktor ini belum benar-benar stabil, EV akan terus berdepan cabaran besar dari segi resale value.

