
KANADA TIKAM BELAKANG US – EV CHINA BOLEH DIJUAL DI KANADA
Kanada kini secara rasmi membuka semula laluan kepada pengimporran kereta elektrik (EV) buatan China, satu langkah yang boleh mengubah landskap pasaran automotif negara itu dalam masa terdekat. Keputusan ini dibuat selepas rundingan perdagangan antara Kanada dan China, yang menyaksikan penurunan besar tarif import EV China turun daripada 100% kepada sekitar 6.1% sahaja.
Langkah ini dilihat sebagai kompromi perdagangan yang rumit antara 2 negara. Sebelum ini, tarif 100% yang dikenakan pada penghujung 2024 hampir menutup terus pintu pasaran Kanada kepada EV China. Namun tindakan tersebut menerima balasan keras apabila China mengenakan tarif sehingga 84% ke atas eksport canola Kanada, yang menekan industri pertanian negara itu.
Melalui perjanjian baharu antara Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, dan Presiden China, Xi Jinping, kedua-dua pihak bersetuju untuk saling mengendurkan tekanan. China akan menurunkan tarif canola kepada 15%, manakala Kanada pula akan membenarkan kemasukan EV China pada kadar tarif yang jauh lebih rendah dan kuantiti terhad.
Untuk peringkat awal, Kanada hanya membenarkan sehingga 49,000 unit EV buatan China setahun, dengan jumlah ini meningkat secara berperingkat kepada 70,000 unit setahun dalam tempoh lima tahun. Angka ini mungkin kelihatan kecil jika dibandingkan dengan hampir 1.9 juta kenderaan yang dijual di Kanada setiap tahun, tetapi kesannya dalam segmen EV dijangka jauh lebih besar.
Masalahnya, EV China terkenal bukan sahaja murah, ia juga datang dengan teknologi moden untuk harga yang ditawarkan. Ciri-ciri seperti sistem bantuan pemandu lanjutan, skrin besar, bateri berkapasiti tinggi dan perisian pintar biasanya hadir pada harga yang sukar ditandingi oleh pengeluar Amerika Utara dan Jepun.
Di sinilah kebimbangan mula timbul apabila esatuan pekerja automotif dan pemerhati industri bimbang kemasukan EV China akan memberi tekanan besar kepada pengeluar tempatan yang sedang bergelut dengan kos peralihan ke elektrifikasi. Industri automotif Amerika Utara masih dalam fasa pelaburan besar-besaran untuk EV, dan kehadiran pesaing yang jauh lebih murah boleh mengganggu kestabilan pasaran.
Namun dari sudut pengguna, cerita ini agak berbeza dan positif. Lebih banyak EV murah bermakna lebih banyak pilihan, harga lebih kompetitif, dan kadar penerimaan EV yang lebih pantas. Ini selari dengan sasaran Kanada untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mempercepatkan peralihan kepada kenderaan elektrik sepenuhnya.
Kerajaan Kanada pula berhujah bahawa langkah ini bukan semata-mata soal import, tetapi peluang jangka panjang. Menurut Carney, perjanjian ini berpotensi menarik pelaburan China ke dalam sektor automotif tempatan seperti aktiviti CKD, rantaian bekalan bateri dan penciptaan pekerjaan baharu.
Di peringkat geopolitik, keputusan Kanada ini hampir pasti tidak disenangi oleh Amerika Syarikat. Washington secara terbuka mengambil pendirian keras terhadap EV China, dan langkah Ottawa ini boleh dilihat sebagai perbezaan pendekatan yang ketara. Namun, dalam dunia perdagangan global, realiti ekonomi sering mengatasi sentimen politik.

