
PROJEK MEGA PERODUA DI KUANTAN -BAKAL JADI HAB AUTOMOTIF PANTAI TIMUR?
Melalui beberapa maklumat yang diperolehi oleh penulis, Perodua dilaporkan sedang merancang satu pembangunan berskala besar di Paya Besar, Kuantan yang berpotensi mengubah landskap logistik automotif di Pantai Timur.
Projek ini melibatkan pembinaan hab logistik automotif di atas tanah seluas kira-kira 16.88 ekar, terletak strategik bersebelahan Stesen ECRL Paya Besar.
Berdasarkan maklumat industri yang diperoleh, hab ini dijangka merangkumi beberapa komponen utama termasuk Pusat Pengedaran Kenderaan (Regional Distribution Centre – RDC), Pusat Jualan Kenderaan Pramilik (ROV), Pusat Alat Ganti, serta Pusat Baik Pulih dan Mengecat Kenderaan. Gabungan fasiliti ini menunjukkan perancangan yang bersifat menyeluruh, bukan sekadar gudang logistik biasa.
Salah satu elemen paling menarik ialah potensi penggunaan ECRL sebagai medium pengangkutan utama bagi kenderaan dan komponen. Jika direalisasikan, ia berupaya mempercepatkan pergerakan logistik dari dan ke Pantai Timur, mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan darat jarak jauh, serta menurunkan kos operasi keseluruhan rantaian bekalan.
Lebih signifikan, terdapat beberapa petunjuk kukuh bahawa hab ini berkemungkinan disambungkan terus dengan hab utama Perodua Serendah melalui rangkaian ECRL, sekaligus mewujudkan ekosistem logistik automotif yang lebih efisien pada peringkat nasional.
Sekiranya projek ini diteruskan, ia bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Perodua dari sudut operasi, malah berpotensi mengangkat Kuantan sebagai hab automotif utama Pantai Timur, sambil membuka peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi tempatan.
Salah satu kelebihan yang ada pada Perodua sekiranya projek ini direalisasikan ialah ia mengurangkan kebergantungan Perodua pada Pelabuhan Klang yang sudah menjadi semakin sibuk. Komponen utama seperti bateri untuk kereta elektrik boleh diimport dari China dan sampai ke Perodua dengan lebih pantas.
-Gambar Kredit Kuantan Development News

