
KEMPEN JOGET LAMBAK NISSAN E-POWER. APA EEEE…
Bila sebut teknologi baharu, selalunya pengguna biasa akan akan pening lalat dulu. Lagi-lagi apabila Nissan datang dengan sesuatu yang bukan EV sepenuhnya, tapi rasa macam EV. Inilah yang Nissan cuba jelaskan melalui kempen terbaru mereka yang diberi nama “Apa-e?” yang ringkas, menarik perhatian dan memang kena dengan loghat kita.
Kempen ini bertujuan untuk mendedahkan kepada pemandu apa itu e-POWER, kelebihan sistem, dan kenapa teknologi ni berbeza daripada kereta petrol biasa atau EV penuh. Ia juga jadi pembuka tirai sebelum ketibaan All-New Nissan Serena e-POWER, model e-POWER kedua Nissan di Malaysia selepas Nissan Kicks e-POWER yang masuk pasaran pada hujung 2024.
Menurut Christopher Tan, Naib Presiden Eksekutif Edaran Tan Chong Motor, kempen Apa-e? ini direka khas untuk tarik perhatian rakyat Malaysia melalui media sosial dan radio dengan pendekatan yang meriangkan, bertenaga dan senang difahami. Ringkasnya, Nissan menyampaikan mesej bahawa e-POWER adalah teknologi pintar yang mampu milik, jimat minyak, dan menyeronokkan.
Video kempen Apa-e? ni dah mula ditayangkan bermula 7 Januari 2026 di platform YouTube, Facebook, X dan TikTok Nissan Malaysia, selain iklan radio di stesen popular seperti ERA, Hitz, Lite, Hot FM dan MY.
e-POWER Ni EV Ke, Petrol Ke?
Dalam sistem e-POWER, roda depan digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik. Enjin petrol pula tidak sambung terus ke tayar sebaliknya bertindak menjana elektrik untuk cmengecas bateri dan membekalkan kuasa kepada motor apabila perlu. Sebab tu rasa pemanduan Nissan e-Power lebih senyap, lancar dan menghasilkan tork segera, sama seperti EV.
Bezanya, pengguna tidak perlu risau range anxiety dan tak perlu mencari pengecas. Isi minyak dan jalan seperti biasa. Antara kelebihan Nissan e-Power ialah penggunaan minyak lebih jimat, pelepasan ekzos lebih rendah, lengkap dengan regenerative braking, dan pemandu boleh memilih pemanduan satu pedal sama seperti EV.
Bagi pengguna yang hendak merasai sendiri pengalaman e-POWER , Nissan menganjurkan sesi pandu uji di bilik pameran terpilih. Untuk maklumat lanjut pasal All-New Nissan Serena e-POWER, boleh layari laman rasmi Nissan Malaysia atau hubungi 1-800-88-3838.



