Artikel Pilihan

10 MPV PALING BEST 2026. RM 20K JE, BOLEH BELI TUNAI….

Apabila menyebut MPV, ramai terus terbayangkan MPV mewah besar gajah seperti Alphard, Estima, Odyssey, Carnival atau Starex. Masalahnya satu saja iaitu harga pembelian dan kos penjagaan. Tapi realitinya, bukan semua orang perlukan MPV besar macam van VIP.

Untuk kegunaan harian, menghantar anak sekolah, balik kampung sekali-sekala dan untuk bercuti di hujung minggu, MPV kompak sebenarnya pilihan yang lebih masuk akal dan praktikal

Kali ini kami senaraikan beberapa MPV kecil, yang jimat minyak, senang untuk dijaga, alat ganti bersepah sepah dan paling penting ialah harga permulaan sekitar RM20,000 sahaja. MPV yang kami senaraikan ini sesuai untuk keluarga kecil, boleh bawa ramai penumpang, dan menawarkan pemanduan seperti sedan

1. Chery Eastar (2006–2009) RM10,000 – RM20,000

Chery Eastar mungkin bukan pilihan popular, tapi dari segi ruang, ia memang luar biasa besar untuk harga serendah ini. Kabin luas, ruang barisan ketiga selesa dan sesuai kalau anda perlukan ruang maksimum dengan bajet paling ketat. Namun, realitinya ialah penggunaan petrol agak kuat dan pencarian alat ganti perlukan sedikit usaha.

MPV ini sesuai sebagai opsyen terakhir untuk mereka yang betul-betul nak MPV besar tapi bajet “kering kontang”.

2. Kia Carens / Kia Rondo (2008–2011) RM20,000 – RM25,000

Kia Carens atau Rondo ialah contoh klasik kereta nampak biasa tapi sangat luar biasa. Resale value rendah buatkan harga terpakai jadi sangat berbaloi. Dari segi keselesaan dan praktikaliti, ia sebenarnya lebih baik daripada apa yang ramai sangka. Ia bukan MPV yang fbergaya, tapi untuk kegunaan harian dan keluarga kecil, Carens ialah “value for money sebenar” yang sering dipandang sepi.

3. Mitsubishi Grandis (2003–2005) RM20,000 – RM25,000

Walaupun model ini sudah lama, Mitsubishi Grandis ialah antara MPV paling besar dalam senarai ini. Saiznya berada di tengah-tengah antara Toyota Wish dan Estima, menjadikannya sesuai untuk keluarga yang perlukan ruang lebih tanpa masuk kategori MPV besar.

Enjinnya terkenal tahan lasak walaupun mengketedarah petrol, dengan gaya old-school tapi masih relevan. Ini ialah MPV “kebal” untuk mereka yang utamakan ketahanan berbanding rupa moden.

4. Mazda 5 (2006–2009) RM25,000 – RM30,000

Mazda 5 ialah MPV yang cantik bergaya tetapi yang ramai tak sedar kewujudannya. Pintu gelongsor buatkan ia lebih praktikal, dan seperti tipikal Mazda,pengendalian “Zoom-Zoom” memang sedap. Malah jauh lebih baik berbanding kebanyakan MPV lain. Kelemahannya, kos alat ganti sedikit mahal. Tapi kalau anda nak MPV yang rasa seronok dipandu, Mazda 5 memang pilihan tepat.

5. Proton Exora CPS (2011–2013) RM20,000 – RM28,000

Proton Exora CPS terkenal dengan ruang kabin yang sangat luas, sesuai untuk keluarga besar. Ruang barisan ketiga antara yang paling besar dalam kategori ini. Cuma, sistem transmisi CVT perlu dijaga dengan betul, penggunaan petrol yang kuat sikit dan servis berkala memang wajib. Kalau perlukan MPV tempatan dengan kos milikan masih munasabah dan ruang maksimum, Exora ialah pilihan logik.

6. Honda Stream (2006–2008) RM20,000 – RM30,000

Honda Stream ialah MPV yang menawarkan pemanduan ibarat kereta sport berbadan besar. Enjin 1.8 VTEC yang responsif, handling kemas dan sesuai untuk pemandu yang tak nak rasa seperti memandu bas. Namun, baris ketiga agak sempit dan lebih sesuai untuk kanak-kanak. MPV ini sesuai untuk mereka yang ada jiwa kelajuan, walaupun sudah berkeluarga.

7. Toyota Wish (2005–2008) RM20,000 – RM30,000

Toyota Wish versi awal, atau digelar “Wish Lejen”, masih menjadi kegilaan. Malah Toyota Wish “sepet” yang lebih baru pun sudah boleh dibeli pada harga sekitar RM30k. Kualiti binaan kukuh, kabin senyap dan rasa pemanduan premium ala Jepun.

Kekurangannya ialah roadtax dan penggunaan minyak sedikit tinggi terutama versi pertama. Tapi dari segi kualiti keseluruhan, Wish masih benchmark dalam kelas MPV kompak. Kalau penulis, Wish generasi kedua dengan enjin 2.0 dan suspensi yang ditala dengan sedikit keras

8. Nissan Grand Livina (2010–2013) RM20,000 – RM30,000

Nissan Grand Livina terkenal sebagai MPV paling selesa. Suspensi direka lembut, posisi kedudukan pemandu selesa dan penggunaan minyak jimat. Ia sangat sesuai untuk pemanduan harian dan perjalanan jauh. Cuma jarak kelegaan jalan rendah sedikit, jadi anda perlu lebih berhati-hati di bonggol.

9. Toyota Avanza (2009–2012) RM25,000 – RM30,000

Toyota Avanza bukanlah MPV paling senyap atau paling selesa, tapi ia menang besar dari segi ketahanan dan resale value. Ini adalah kereta yang anda boleh belasah hari-hari, redah masuk constructionsite, balik kampung, angkut barang berniaga dan campak ke sungai untuk dimakan buaya TAPI masih hidup. Kalau anda sedang mencari MPV tidak banyak drama, Avanza ialah pilihan selamat.

10. Perodua Alza (2010–2014) RM20,000 – RM25,000

Nama Perodua Alza muncul sebagai best overall untuk kebanyakan orang. Ia MPV yang jimat minyak, kos servis murah dan munasabah, spare part berlambak dan senang dijaga. Prestasi enjin lemau biasa-biasa saja, tapi untuk kegunaan harian, ia cukup memadai.Inilah MPV yang buat hidup paling senang, terutamanya untuk keluarga muda dan first-time MPV owner.

MPV dalam senarai ini mungkin kecil sahaja, tapi semuanya praktikal. Ada barisan tempat ketiga, boleh dipasang roof box, boleh bawa 7 ahli keluarga dan masih sesuai untuk kegunaan seharian. Dengan bajet sekitar RM20k, pilihan sebenarnya cukup banyak. Cuma anda kena tahu apa yang sesuai dengan keperluan sendiri.

Google ads
Back to top button