Buletin

ISUZU D-MAX SINGLE CAB

Pengedar kenderaan jenama Isuzu di Malaysia, Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. (Isuzu Malaysia) telah melancarkan Isuzu D-Max Single Cab generasi kedua serba baharu. Jentera itu telah menerima pelbagai penambahbaikan dari segi bentuk dan fungsi bagi menjadikannya sebagai yang terbaik dalam kelasnya. 

Bagi mengekalkan tarikannya dalam kalangan usahawan dan menjadi peneraju dalam segmen trak pikap kabin tunggal, Isuzu D-Max Single Cab kini juga hadir bersama varian 4X2. Ruang kargo model ini boleh diubah suai untuk memenuhi keperluan setiap pelanggannya.

D-Max Single Cab menyertai barisan model yang diperkenalkan oleh Isuzu Malaysia pada tahun ini seperti D-Max Double Cab. Model-model baru trak tugas ringan, sederhana dan berat juga dilancarkan sebagai sebahagian daripada matlamat syarikat untuk memenuhi pemintaan yang kian meningkat.  

“Para pelanggan mahukan varian-varian tertentu untuk memenuhi keperluan logistik mereka. Jadi, kami perlu menambah varian kenderaan dalam usaha menawarkan pelanggan dengan produk yang tepat untuk menangani masalah kenaikan kos komoditi,” kata Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Daisuke Ishida.

ISUZU DMAX_SC_4x4_PaddyField_KV

Varian 4×2 menawarkan fleksibiliti kepada pengguna untuk mengubah suai ruang kargo berdasarkan kepada keperluan mereka. Ini termasuklah pilihan seperti luton, kotak atau cargo bed rata yang dibina menggunakan kayu atau besi. Pilihan-pilihan lain turut disediakan dan boleh diperolehi selepas mendapatkan khidmat nasihat daripada perunding jualan Isuzu. Jentera itu dikuasakan oleh enjin 4JA1-L dengan sistem pengecas turbo bersesaran 2.5 liter.

Rangkaian tertinggi ialah versi 4×4 yang rekaannya berdasarkan kepada model Double Cab terkini. Varian 4×4 Single Cab baharu menawarkan ruang kabin paling selesa dalam kelasnya menerusi beberapa ciri baharu bagi memastikan ia selesa dan selamat.  Ia dikuasakan oleh enjin 2.5 liter bersama Sistem Turbo Variable Geometry (VGS).

Isuzu D-Max Single Cab kini boleh didapati di semua pusat pengedaran Isuzu di seluruh negara pada harga bermula RM60,411 untuk Semenanjung Malaysia, RM62,686 di Sabah dan RM62,590 di Sarawak (harga di atas jalan tanpa insurans) untuk model 4×2.

Sementara varian 4×4 pula ditawarkan pada harga RM72,331.20 seunit di Semenanjung Malaysia, RM74,140.80 di Sabah dan RM74,238.30 di Sarawak (harga di atas jalan tanpa insurans). Untuk mengetahui senarai penuh cawangan Isuzu terdekat, sila layari laman web: www.isuzu.net.my  atau hubungi talian 1-300-88-1133.

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button