
ISUZU MALAYSIA LANCAR KEMPEN DERMA DARAH ‘TRUCK FOR LIFE’
ISUZU Malaysia Sdn Bhd (IMSB) memperkenalkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) terbaharu menerusi kempen derma darah “Truck for Life” bagi tahun 2026.
Inisiatif berkenaan adalah sebagai usaha menyokong keperluan bekalan darah negara di samping memperkukuh komitmen ESG syarikat terhadap komuniti.
Kempen berkenaan dijalankan dengan kerjasama Pusat Darah Negara Malaysia bagi membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk kegunaan hospital di seluruh negara, khususnya dalam situasi kecemasan, pembedahan dan rawatan pesakit berterusan.
Melalui program ini, “Truck for Life” akan menjelajah ke seluruh Malaysia dengan singgahan di rangkaian pengedar ISUZU, sekali gus memudahkan pelanggan, pekerja serta orang awam untuk menyertai aktiviti derma darah.

Jelajah ini dijangka meliputi Semenanjung serta Malaysia Timur dan akan bermula pada suku kedua tahun 2026.
Ketua Pegawai Operasi IMSB, Masashi Nuijima, berkata inisiatif tersebut mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam memberi kembali kepada masyarakat melalui program yang memberi impak langsung.
Beliau berkata, sepanjang tahun-tahun sebelumnya, IMSB telah melaksanakan pelbagai program komuniti termasuk aktiviti alam sekitar dan bantuan sosial, dan kempen derma darah ini menjadi antara fokus utama tahun ini bagi menyokong keperluan nasional.
Pelancaran awal kempen telah diadakan di ibu pejabat ISUZU Malaysia di Damansara Uptown, Petaling Jaya, yang menyaksikan kutipan sekitar 15 liter darah dalam tempoh sehari, menandakan permulaan positif bagi pelaksanaan di peringkat nasional.
Menurut IMSB, sokongan berterusan daripada rangkaian pengedar di seluruh negara akan memperluaskan capaian kempen ini agar lebih ramai rakyat Malaysia dapat mengambil bahagian sebagai penderma darah.
Pihak Pusat Darah Negara Malaysia turut menekankan keperluan konsisten untuk mengekalkan rizab darah negara, dengan anggaran 15,000 hingga 17,000 beg darah diperlukan setiap hari bagi menampung permintaan rawatan perubatan di seluruh negara.
IMSB menegaskan bahawa kejayaan ISUZU sebagai jenama trak terkemuka di Malaysia selama lebih 14 tahun berturut-turut turut mendorong syarikat untuk terus memperkukuh peranan sosialnya melalui inisiatif seperti “Truck for Life”, yang bukan sahaja menyokong kesihatan awam tetapi juga menggalakkan semangat kebersamaan dalam komuniti.
Selain kempen derma darah, IMSB sebelum ini turut aktif dalam pelbagai program ESG termasuk pemuliharaan alam sekitar, penanaman pokok serta bantuan kepada institusi kebajikan seperti rumah anak yatim dan rumah warga emas.







