
ISUZU MALAYSIA CATAT JUALAN 4,237 UNIT PADA 1H 2022. NAIK 143% BERBANDING 2021
Minat yang semakin tinggi terhadap trak pikap seperti model Isuzu D-Max serba baru, telah menyumbang kepada rekod jualan Isuzu Malaysia.
Dengan 4,237 unit didaftarkan sejak Januari hingga Jun tahun ini, syarikat menyaksikan peningkatan mendadak sebanyak 143 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Malah, angka jualan bagi tempoh separuh pertama tahun ini sudah setanding dengan pencapaian tahun 2021 iaitu 4,601 unit. Ini melonjakkan jenama berkenaan ke kedudukan ketiga dalam segmen trak pikap.
Gergasi trak dari Jepun ini mencetus fenomena global menerusi Isuzu D-Max generasi ketiga yang memberi takrifan segar terhadap penampilan trak pikap, prestasi serta rasa.
Dari versi Single Cab untuk tugas lasak hinggalah kepada varian X-Terrain yang canggih dan lengkap dengan pelbagai ciri termaju, Isuzu berjaya menyuntik kemampuan ke dalam trak berkenaan. Pada masa sama memberi perhatian kepada keselesaan, keselamatan dan keseronokan memandu.

Dengan prestasi enjin, penggunaan minyak yang sangat cekap, kepelbagaian penggunaan serta kadar cukai jalan paling rendah dalam kelasnya untuk pasaran Malaysia, varian 1.9 liter Blue Power terbukti menjadi pilihan paling popular dalam kalangan pembeli di Malaysia. Ia menyumbang hampir 80 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan.
Varian flagship X-Terrain juga semakin mendapat sambutan, menyumbang 10 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan. Ini merupakan pencapaian membanggakan bagi Isuzu memandangkan syarikat tidak pernah menikmati penerimaan yang kukuh seperti itu dalam segmen kenderaan gaya hidup sebelum ini.
“Dengan kemaskini terbaru yang diberikan, termasuklah warna baru, lampu aluan, plat pelindung, pengecas Qi tanpa wayar serta peninjau sekeliling, ia menjadi sebuah kenderaan yang lebih lengkap dan membolehkan pemiliknya melakukan lebih banyak perkara dengannya,” ujar Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

Dengan pilihan lapan varian, barisan Isuzu D-Max direka untuk memberikan kenderaan paling ideal untuk memenuhi keperluan pelanggan. Hampir semua barisan trak pikap itu hadir dengan keupayaan 4×4.
Hanya satu varian 4×2 automatik disediakan untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan dengan kos yang lebih rendah.
Maklumat lanjut mengenai barisan Isuzu D-Max, sila layari pickuptruck.isuzu.net.my atau https://www.facebook.com/ISUZU.DMax.Malaysia/