
PANEL JAGUAR SATU PENCAPAIAN BAGUS, TAPI NGERI UNTUK DIBAIKI
Jaguar Type 01 bukan sahaja mencuri perhatian menerusi reka bentuknya yang radikal, malah turut menampilkan satu pencapaian kejuruteraan yang menarik. Kereta elektrik mewah ini menggunakan panel badan aluminium sepanjang hampir tiga meter yang pada awalnya dianggap mustahil untuk dihasilkan menggunakan kaedah pembuatan konvensional.
Dikenali sebagai Impossible Panel, komponen tersebut menjadi antara elemen paling penting dalam reka bentuk luaran Type 01. Panel berkenaan memanjang dari kawasan tiang A, ke bahagian sisi badan dan garis bumbung sebelum membentuk bahagian belakang yang mengelilingi ruang roda belakang.
Menurut Jaguar, panel ini penting untuk menghasilkan garisan bahu badan yang tinggi dan berterusan dari bahagian hadapan hingga ke belakang. Bentuk tersebut memberikan Type 01 penampilan yang panjang, lebar dan berotot, tanpa perlu memecahkan permukaan badan kepada beberapa panel kecil yang boleh mengganggu kesinambungan reka bentuk.
Cabaran sebenar muncul ketika pasukan kejuruteraan cuba menentukan cara untuk menghasilkan komponen tersebut menggunakan aluminium. Apabila reka bentuk dimasukkan ke dalam sistem pemodelan dan simulasi pembuatan, hasil analisis menunjukkan bahawa panel itu terlalu lebar dan mempunyai terlalu banyak sudut serta permukaan kompleks untuk dicap dengan mudah.
Aluminium mempunyai sifat yang menyukarkan proses ini kerana ia boleh mengalami perubahan bentuk apabila dikenakan tekanan tinggi dan berpotensi kembali ke bentuk asal selepas tekanan dilepaskan yang dikenali sebagai springback. Pada masa yang sama, proses pembentukan yang terlalu agresif boleh menyebabkan material merekah atau gagal mencapai bentuk yang dikehendaki.

Dalam kebanyakan projek automotif, masalah seperti ini boleh diselesaikan dengan memecahkan panel kepada beberapa komponen atau memudahkan bentuk permukaan badan. Namun, Jaguar memilih untuk mengekalkan reka bentuk asal dan mencari kaedah pembuatan yang mampu merealisasikannya.
Pasukan jurutera akhirnya menggunakan pendekatan pembangunan perkakasan dan percubaan berulang untuk menentukan bentuk acuan, urutan pengecapan serta parameter pemprosesan yang sesuai sehingga mengambil masa 22 minggu pembangunan.
Keunikan Impossible Panel bukan sekadar pada panjangnya dimana komponen ini menggabungkan lima satah permukaan berbeza, dengan tiga garisan ciri reka bentuk bertemu pada satu titik. Gabungan tersebut menghasilkan bentuk yang kompleks dan sukar dicapai sekiranya proses pembentukan tidak dikawal dengan tepat.
Bagi menghasilkan bentuk berkenaan, Jaguar menggunakan proses stamping berbilang peringkat. Laporan teknikal menyatakan bahawa panel itu dibentuk melalui enam peringkat stamping menggunakan mesin yang mampu menghasilkan daya sehingga 2,500 tan. Setiap peringkat membantu membentuk aluminium secara beransur-ansur supaya geometri akhir dapat dicapai tanpa merosakkan permukaannya.
Pendekatan ini membolehkan Jaguar mengekalkan permukaan badan yang bersih dan berterusan, sekali gus mengurangkan keperluan terhadap sambungan panel tambahan. Ia juga menunjukkan bahawa reka bentuk automotif yang kelihatan ringkas sebenarnya boleh memerlukan proses pembuatan yang sangat rumit.
Selain penampilan, bentuk badan Type 01 turut dibangunkan dengan mengambil kira aerodinamik dengan pekali seretan sekitar 0.23, hasil daripada pelbagai usaha pengoptimuman aliran udara. Garisan badan, bentuk bahagian belakang dan perincian permukaan memainkan peranan dalam mencapai sasaran tersebut.
Jaguar Type 01 dibangunkan menggunakan seni bina elektrik khusus yang dikenali sebagai Jaguar Electric Architecture (JEA). Platform ini membolehkan pasukan reka bentuk dan kejuruteraan menentukan perkadaran badan, kedudukan komponen serta susun atur bateri mengikut keperluan model tersebut.
Kemunculan Impossible Panel juga menggambarkan pendekatan Jaguar dalam menggabungkan reka bentuk dengan kejuruteraan. Daripada mengubah bentuk badan supaya lebih mudah dibuat, pasukan itu berusaha menyesuaikan proses pembuatan untuk memenuhi kehendak reka bentuk.







