
JAGUAR HILANG ARAH? JUALAN MENJUNAM 98 PERATUS SELEPAS IKLAN ‘BERANI’ TANPA KERETA!
Prestasi jualan Jaguar di benua Eropah mencatatkan kejatuhan luar biasa apabila hanya 49 unit didaftarkan sepanjang April lalu, merosot hampir 98 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya yang mencatatkan 1,961 unit.
Kemerosotan drastik ini berlaku ketika Jaguar sedang melaksanakan penjenamaan semula yang dilihat kontroversial, termasuk iklan kempen menonjolkan model bukan binari berpakaian berwarna-warni dan slogan seperti “Copy Nothing” serta “Live Vivid”, tanpa memperlihatkan satu pun model kereta Jaguar.
Kempen itu bertujuan mengumumkan peralihan Jaguar menjadi jenama kenderaan elektrik ultra-mewah, namun model baharu masih belum tiba di pusat jualan.
Menurut data Persatuan Pengeluar Automotif Eropah, jumlah jualan dari Januari hingga April 2025 turut menjunam sebanyak 75.1 peratus, dengan hanya 2,665 unit dihantar kepada pelanggan di seluruh Eropah.

Kejatuhan ini juga dikaitkan dengan pemberhentian awal pengeluaran semua model berenjin petrol dan diesel, menyebabkan kebanyakan bilik pameran kosong tanpa stok.
Jaguar dalam kenyataan kepada media menegaskan bahawa transformasi jenama adalah sebahagian daripada pelan strategik “Reimagine” yang diperkenalkan sejak 2021, dan penurunan jualan tahun ini tidak boleh dibandingkan secara terus kerana tiada lagi model baharu dalam pengeluaran aktif.
Namun begitu, kelewatan pelancaran model utama — sebuah GT empat pintu elektrik dengan anggaran harga mencecah AS$200,000 (sekitar RM945,000), dijangka muncul lewat 2025, turut menjadi penyumbang besar kepada penyusutan jualan tersebut.
Laporan Bloomberg menyebut syarikat tersebut kini seakan-akan ‘membeku’ dengan ketiadaan produk baharu di pasaran.
Langkah penjenamaan semula Jaguar ini yang menyasarkan golongan muda nyata gagal menarik perhatian pengguna sasaran dan sebaliknya menerima kritikan hebat daripada penganalisis industri serta pengedar.
Dalam tempoh beberapa tahun, jualan global Jaguar terus merosot, daripada lebih 180,000 unit pada 2018 kepada kurang daripada 27,000 unit tahun lalu.
Jaguar, yang dahulunya milik Ford Motor Company sebelum dijual kepada Tata Motors dari India pada 2008, kini berdepan cabaran getir untuk bangkit semula ketika dunia automotif semakin kompetitif, khususnya dalam pasaran kenderaan elektrik.
- BACA: GWM MALAYSIA CATAT PERTUMBUHAN 20.3 PERATUS, HAVAL H6 HEV JADI TARIKAN UTAMA
- BACA: TQ WULING BINGO EV BAKAL DILANCARKAN AKHIR TAHUN INI – PRATONTON AWAM BERMULA JULAI 2025
- BACA: OLIVER SOLBERG AKAN MEMANDU SEMULA JENTERA RALLY1. SEBASTIEN OGIER PULA AKAN BERAKSI DI FINLAND SEBAGAI PUSINGAN TAMBAHAN
- BACA: DEDICATED HYBRID TRANSMISSION. INI SISTEM HIBRID PINTAR & CERDIK







