" "
Buletin

KERETA LAGAK NGERI JAGUAR C-X75 KINI SAH DI ATAS JALAN, HASIL KERJA CALLUM

Jaguar C-X75 diperkenalkan buat kali pertama pada Pameran Kenderaan Paris 2010. Kereta ini cantik dan canggih dengan teknologi hibrid namun hanya sekadar konsep selepas Jaguar memutuskan untuk tidak mengeluarkannya.

Walaupun tidak dikeluarkan, Jaguar membawa elemen rekaan dan teknologi C-X75 ke dalam F-Type dan I-Pace. CX-75 juga beraksi sebagai ‘pelakon’ lagak ngeri untuk sebuah filem.

Kereta ini hasil reka bentuk Jaguar Design yang diketuai pereka terkenal, Ian Callum pada 2010.

Daripada sejumlah kecil yang dikeluarkan sebagai kereta lagak ngeri, ada sebuah iaitu Car Seven yang kini sah digunakan di atas jalan raya di United Kingdom (UK) selepas diubah suai para jurutera CALLUM.

Kereta lagak ngeri C-X75 dikeluarkan oleh Williams Advanced Engineering dan direka supaya tahan lasak untuk babak filem yang mencabar.

Badan kereta menggunakan casis kerangka ruang bentuk tiub (tubular spaceframe) dengan suspensi yang disesuaikan dari rali dan dibekalkan enjin Jaguar 5.0 liter V8 pengecas lampau.

Pelanggan CALLUM meminta C-X75 untuk digunakan di atas jalan raya dan pada sama mengekalkan sejarahnya yang ikonik.

Bagi mendapatkan pensijilan Individual Vehicle Approval (IVA) dan sah digunakan di atas jalan raya, para jurutera CALLUM membuat ratusan perubahan.

Di antaranya cermin dengan gred atau tanda E, suis kawalan, ekzos lebih senyap dan penukar bermangkin dan penalaan enjin.

CALLUM sebelum ini sudah berpengalaman melakukan kerja-kerja untuk IVA sebagai contoh Aston Martin DB4 GT Continuation Series.

Lagi perubahan yang dibuat pada C-X75 ialah menghasilkan cermin sisi baharu dengan lampu isyarat bagi menggantikan unit yang dibuat daripada busa pada kereta lagak ngeri.

Bagi memenuhi keperluan undang-undang, pekerja terlibat turut memperbaiki kualiti pemasangan dan badan kereta.

Lebihan selak pembuka cepat untuk rakaman filem ditanggalkan. Jurang di antara panel dikurang dan diselarikan. Kemasan permukaan karbon diperbaiki dan dicat semula.

Kereta lagak ngeri C-X75 mempunyai kawalan badan yang bagus, stereng jitu dan lincah.

Para jurutera CALLUM yang diketuai Pengarah Kejuruteraan, Adam Donfrancesco memastikan dinamika pemanduan kereta ini kekal dengan pelarasan kecil pada penyerap hentak dan ketinggian kereta.

Sah dijalan raya dan sebuah lagi kereta memasuki koleksi langka dunia automotif!

Google ads
Back to top button