Advertisements
Artikel Pilihan

BUDAYA WOKE GAGAL SELAMATKAN JLR, RUGI RM 2.4 BILLION

Jaguar Land Rover (JLR), pengeluar kenderaan mewah dari Britain yang terkenal dengan jenama Range Rover, Defender dan Jaguar, mencatatkan kerugian bersih sebanyak kira-kira RM2.44 bilion bagi suku kedua tahun kewangan 2026/2027 yang berakhir pada 30 September 2026.

Prestasi kewangan terbaharu ini memperlihatkan cabaran yang masih dihadapi JLR dalam persekitaran industri automotif global yang semakin kompetitif. Persaingan daripada pengeluar kenderaan China, ketidaktentuan pasaran antarabangsa serta keperluan melakukan penstrukturan semula perniagaan menjadi antara tekanan utama yang perlu ditangani syarikat tersebut.

JLR sebenarnya menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya apabila kerugian bersih berjaya dikurangkan daripada RM3.02 bilion kepada RM2.44 bilion. Dari segi pendapatan, JLR merekodkan hasil sebanyakRM31.86 bilion, meningkat 20.3 peratus berbanding suku kedua tahun kewangan sebelumnya. Keuntungan sebelum cukai pula berjumlah RM32.4 juta, berbanding kerugian sebanyak RM2.62 bilion pada tahun sebelumnya.

Antara cabaran besar yang sedang dihadapi JLR ialah perubahan landskap industri automotif China, yang sebelum ini menjadi antara penyumbang penting kepada perniagaan syarikat kini semakin kompetitif dengan kemunculan pengeluar tempatan yang menawarkan kenderaan premium, teknologi elektrifikasi dan kelengkapan moden pada harga lebih agresif.

Pengeluar China bukan lagi sekadar bersaing dalam segmen kenderaan mampu milik, namun kini semakin berani memasuki segmen premium yang sebelum ini didominasi jenama Eropah, termasuk melalui pembangunan kenderaan elektrik dan teknologi kabin digital.

Perubahan cita rasa pengguna serta persaingan daripada jenama tempatan turut memberikan tekanan kepada kedudukan JLR di China. Keadaan ini menunjukkan bahawa reputasi dan sejarah sesebuah jenama mewah sahaja tidak lagi mencukupi untuk mengekalkan penguasaan dalam pasaran automotif moden.

Syarikat turut berusaha mengurangkan jumlah pengeluaran yang diperlukan untuk mencapai titik pulang modal kepada sekitar 300,000 unit setahun. Langkah ini bertujuan menjadikan operasi lebih cekap dan mengurangkan tekanan terhadap kewangan syarikat selain menamatkan perkhidmatan 3000 kakitangan secara sukarela dalam tempoh 2 tahun

Pada masa sama, JLR tidak mahu ketinggalan dalam peralihan industri kepada kenderaan elektrik dengan merancang pelaburan antara RM81 bilion hingga RM97.2 bilion dalam tempoh lima tahun bagi pembangunan produk, teknologi elektrifikasi dan transformasi perniagaan.

Antara produk baharu yang diperkenalkan termasuk Range Rover Electric, Range Rover Sport Electric dan Jaguar Type 01. Ketiga-tiga model elektrik mewah tersebut dibangunkan untuk memperkukuhkan kedudukan JLR dalam segmen premium apabila penghantaran kepada pelanggan dijadualkan bermula pada awal 2027.

JLR turut merancang memperkenalkan Range Rover GT dan sebuah Defender elektrik serba baharu pada tahun hadapan. Kedua-dua model tersebut akan menggunakan platform EMA dan dibangunkan di fasiliti pengeluaran Halewood, Britain.

Situasi yang dihadapi JLR memperlihatkan betapa sengitnya perubahan dalam industri automotif global. Walaupun mempunyai sejarah panjang dalam menghasilkan kenderaan mewah kini perlu berhadapan pesaing baharu yang bergerak pantas dalam pembangunan teknologi dan elektrifikasi.

Bagi JLR, cabaran sebenarnya bukan sekadar menghasilkan kenderaan elektrik baharu, tetapi memastikan jenama seperti Range Rover, Defender dan Jaguar terus mempunyai nilai tersendiri di mata pengguna dalam pasaran yang semakin dipenuhi pilihan daripada pengeluar China.

Google ads
Back to top button