Buletin

JERMAN MUNGKIN HADKAN KELAJUAN DI AUTOBAHN – TETAPI KENAPA?

Sebut sahaja Autobahn, pasti ramai yang membayangkan lebuh raya di Jerman yang tidak mempunyai had laju. 

Untuk beberapa kelas kenderaan, pemandu boleh memandu laju tanpa perlu bimbang disaman ketika berada di atas sistem lebuh raya yang dikawal oleh kerajaan persekutuan Jerman itu. 

Malangnya, kelebihan tersebut mungkin bakal berakhir kerana kerajaan Jerman kini sedang mempertimbangkan untuk mengenakan had laju di Autobahn. Alasan yang diberikan di dalam kertas cadangan adalah untuk melindungi perubahan cuaca. 

Pihak berkuasa Jerman didakwa telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk memberi cadangan bagi mengurangkan kesan alam sekitar yang disebabkan oleh pengangkutan. Menetapkan kelajuan di semua lebuh raya menjadi salah satu cadangannya. 

Cadangan lain termasuklah menaikkan cukai bahan api dan kuota kereta elektrik yang dilihat dapat membantu Jerman mematuhi sasaran emisi Kesatuan Eropah. 

Seperti dijangka, tiada satu pun cadangan ini diterima baik oleh penduduk di sana di mana kereta sudah menjadi satu budaya. Malah tentangan ke atas kertas cadangan itu sudah pun bermula. 

Tabloid popular Jerman, Bild Zeitung menyatakan, “Autobahn adalah simbol kebebasan. ‘Sudah diuji di Autobahn Jerman’ menjadi satu penanda aras kualiti. Kita sudah ada cukup had laju.”

Mujurlah buat masa sekarang, ia masih di peringkat cadangan dan kerajaan dijangka mengumumkan pelan spesifik nanti. 

“Bukan semua cadangan atau langkah akan diterima. Ia tetap memerlukan kuasa politik, kemahiran diplomatik dan keingingan untuk berkompromi demi mencapai matlamat perubahan cuaca ini,” jelas kerajaan Jerman. 

Menueut perjanjian Paris Climate, Jerman mesti mengurangkan emisi yang datang daripada industri, perladangan, pemanasan, penyejukan dan tenaga menjelang tahun 2030. 

Google ads
Back to top button