Motosikal

DUCATI MULAKAN PRODUKSI DIAVEL 1260 – 2 WARNA, ADA VERSI S YANG LEBIH BERKUASA

Kilang Borgo Panigale dilapor sudah mula mengeluarkan model Diavel 1260.

Sebagai sebuah motosikal pertama yang dihasilkan, ia disambut oleh semua pekerja kilang dengan ucap selamat serta ucapan rasmi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali dan Pengurus Pengeluaran, Silvano Fini.

Kejayaan mode power cruiser itu bermula dengan debut rasminya pada acara EICMA 2018. Jentera tersebut nyata menarik perhatian para peminat motosikal dari seluruh dunia.  


Sejak dilancarkan pada EICMA 2010, Diavel memang memukau dengan reka bentuknya yang unik dan kualiti pengendalian sebuah sport naked.   

Diavel 1260 yang merupakan generasi kedua ini dikatakan lebih berkuasa dan seronok ditunggang.

Jentera itu dijana oleh enjin Testastretta DVT 1262 yang menggabungkan aspek pecutan mengagumkan dan penghantaran kuasa pada rev rendah yang ideal untuk tunggangan harian.

Talaan chasis yang telah ditambah baik membuatkan Diavel 1260 lebih lincah. Sementara teknologi dan sistem elektronik terkini menjanjikan prestasi membrek yang setara dengan sebuah superbike.

Ia juga menawarkan kawalan prestasi enjin yang lebih mesra pengguna.

Dengan posisi tunggangan menegak, tempat duduk tebal dan rim belakang bersaiz 17 inci yang dibalut tayar selebar 240mm, anda boleh mengharapkan kualiti tunggangan yang selesa.

Diavel 1260 juga didatangkan dengan versi S yang lebih sporty. Varian itu dilengkapi sistem suspensi Öhlins, rim baharu, brek berprestasi tinggi dan Ducati Quick Shift Evo sebagai ciri standard.  

Hadir dalam warna kelabu atau hitam, Diavel 1260 bakal berada di pasaran UK mulai Mac 2019.

Tags
Google ads
Back to top button