Buletin

GELOMBANG HABA, PIHAK BERKUASA JERMAN HADKAN KELAJUAN DI AUTOBAHN

Gelombang haba yang melanda Eropah sekarang membuatkan pihak berkuasa Jerman terpaksa mengenakan had kelajuan ke atas lebuhraya Autobahn bermula 26 Jun lalu. 

Sedia maklum bahawa beberapa lokasi Autobahn sememangnya tidak mempunyai had laju. Kini, kelajuan dihadkan kepada hanya 100km/j. Langkah itu diambil kerana pihak berkaitan bimbang suhu yang luar biasa tinggi itu boleh menyebabkan jalan merekah dan membahayakan keselamatan pemandu.  

Baru-baru ini, suhu di Jerman melepasi 38.2 darjah selsius. Suhu paling panas pernah dicatatkan adalah 40.3 darjah selsius pada tahun 2015. 

Ahli meteorologi menyatakan situasi itu berlaku berikutan perubahan cuaca yang membawa haba panas dari gurun Sahara ke Eropah Barat. Peningkatan suhu juga dilihat mungkin menyebabkan ribut seperti yang berlaku di Amerika Syarikat. 

Dalam perkembangan berkaitan, Paris mengharamkan kereta-kereta lama daripada memasuki bandar kerana suhu panas meningkatkan pencemaran udara. Pihak berkuasa menganggarkan langkah itu melibatkan hampir 60 peratus kenderaan yang berada di Paris. 

Ini termasuklah trak-trak penghantaran yang menggunakan enjin lama. Mereka yang melanggar peraturan ini akan dikenakan denda. 

Google ads
Back to top button