Artikel Pilihan

BMW M2 COMPETITION ‘CEDERA PARAH’ – SALAH MASUK GEAR PUNYA PASAL

Seorang pemandu di Jerman terpaksa mambayar kos yang mahal selepas melakukan kesilapan dengan memasukkan gear yang salah. Beliau yang memandu sebuah BMW M2 Competition secara tidak sengaja melakukannya ketika memecut di lebuh raya Autobahn yang sudah sinonim dengan kelajuan tinggi.

Video sewaktu kejadian dikongsikan oleh H2 Motors GmbH, menunjukkan seorang lelaki membuat pecutan dengan jentara M2 Competition tersebut dan hendak menukar ke gear lima dalam kelajuan sekitar 150 km/j.

Malangnya secara tidak sengaja beliau telah menolak tombol ke gear tiga dan segera melepaskan klac menyangkakan semuanya berjalan lancar. Sayangnya ia satu kesilapan dan bunyi enjin mengaum menandakan ia satu masalah besar.

Selepas insiden tersebut terjadi, kedengaran individu yang merakam video bertanya kepada pemandu sama ada semuanya okey. Si pemandu segera menukar gear neutral dan secara perlahan cuba menukar ke gear empat. Mesej amaran terpancar di skrin infotainment tentang masalah yang berlaku.

Mesej terbabit turut memberitahu pemandu agar memandu secara perlahan dan segera berkunjung di pusat servis. Itu mesej standard, dalam bahasa kita rasanya ia bermaksud “Habis semua jahanam. Memang rabak la poket kalau dah buat silap sampai macam ni, sediakan je lah duit banyak-banyak.”

Pihak yang memuat naik video menyatakan yang seluruh sistem enjin 3.0L enam selinder twin-turbocharged terbabit terpaksa ditukar lain akibat kesilapan tukaran gear yang dilakukan.

Lebih malang lagi enjin gentian tidak termasuk dalam syarat waranti kerana kerosakan enjin asal berlaku akibat kesilapan operasi dan bukannya kegagalan mekanikal.

Enjin M2 ini mampu menjana 405hp dan dikira sederhana untuk model M BMW. Tapi jelas sekali ia tidak mampu dioperasikan dengan baik oleh si pemandu dan kos yang terpaksa dibayar memang sangat-sangat pahit untuk ditelan.

Tags
Google ads
Back to top button