
FERRARI ENZO EKSIDEN DI AUTOBAHN – TIGA ORANG CEDERA
Enzo ialah antara Ferrari yang bernilai tinggi. Hanya 399 unit sahaja dihasilkan menjadikannya antara Ferrari paling rare di atas jalan raya. Sebab tu la tak pernah nampak founder-founder kosmetik timbang kati mekap tebal melaram dengan supercar ni kan? Sayangnya sebuah Enzo tidak bernasib baik dan terlibat dalam kemalangan di Munich, Jerman Selasa lepas.

Kemalangan yang berlaku menyebabkan Enzo ini kehilangan bahagian hadapan dan tayar bahagian pemandu terpeleot terus. Tiga orang dilaporkan tercedera dalam kemalangan ini.
Menurut pihak Bomba Munich, Enzo tersebut telah hilang cengkaman sewaktu dipandu mengakibatkannya terlanggar pembahagi jalan. Cebisan daripada kemalangan berteraburan hampir seluas 200 meter dan mengakibatkan kerosakan pada kenderaan lain. Akibatnya tiga orang dilaporkan tercedera dan dihantar ke hospital.

Terdapat peserta dalam forum Ferrari menyatakan yang supercar tersebut masih boleh diperbaiki tapi akan menelan kos yang tinggi. Itu tak payah sembang pun semua orang tahu. Kos untuk memperbaiki Ferrari memang tinggi tambahan pula untuk model rare macam Enzo ni.
Hagerty melaporkan yang Ferrari Enzo dalam keadaan baik hari ini bernilai lebih RM16.5 juta! Pergh, siapa kata kereta terpakai murah (kereta biasa memang la). Malah Fernando Alonso pernah menjual Enzo milik beliau tahun lepas dengan harga hampir RM28juta. Ya itulah nilai sebenar Ferrari Enzo.
Enzo dihasilkan pada tahun 2002 sebagai pengganti kepada model-model seperti F40 dan F50. Pada masa itu Ferrari memang berada di puncak kejayaan Formula 1 dengan menguasai kejuaraan pengeluar dari 1999-2004. Sebab itulah Enzo mempunyai muncung seperti jentera F1 di bahagian hadapan.
Ia dibekalkan dengan enjin 6.0 liter V12 dengan 650hp kuasa maksima. Kotak gear? Manual automatik 6-kelajuan dengan tukaran gear hanya mengambil masa 150 milisaat!