
JUAL MUSTANG GT UNTUK BAYAR GAJI PEKERJA, BALASAN YANG DITERIMA TIDAK DIDUGA
Seorang pemilik restoran di Smyrna, Georgia Amerika Syarikat terpaksa menjual Ford Mustang GT untuk membayar gaji lapan orang kakitangan dan sewa kedainya.
Charity Salyers tahu bahawa ia bukanlah penyelesaian jangka Panjang, tetapi wang jualan kereta itu cukup untuk dia bertahan selama beberapa bulan. Dia berharap keadaan semakin pulih dan restorannya, Vittles dapat beroperasi semula seperti biasa.
Menjual Mustang itu membuatkannya dia tiada kenderaan. Jadi, beberapa orang pekerja bergilir-gilir menumpangnya untuk pergi dan balik kerja. Apabila kisah Salyers tular, sebuah pengedar kenderaan di kawasan berhampiran tampil membantu. Tetapi, ia bukanlah pengedar Ford.

Menurut laporan Atlanta Journal-Constitution, Savannah Volkswagen memberikan Salyers sebuah Toyota Rav4 tahun 2017 dengan perbatuan sejauh lebih 48,000km. Pengedar tersebut berbuat demikian hanya selepas seminggu mendengar kisah Salyers.
“Mereka mahu membantu saya mendapatkan sebuah kenderaan. Saya sangat terkejut dan bersyukur,” katanya. Savannah Volkswagen membayar pinjaman selama 6 bulan pertama, dengan harapan ia cukup untuk membolehkan restoran Salyers beroperasi seperti biasa.
“Kami sentiasa mencari kisah-kisah seperti ini dan menyumbang kembali kepada masyarakat. Kami rasa ini adalah peluang terbaik kerana tidak ramai yang sanggup berkorban untuk orang lain. Pada masa yang sukar seperti sekarang, kita saling memerlukan,” kata Pengurus Kewangan Savannah Volkswagen, Jennita Orr.

Walaupun RAV4 bukanlah kereta muscle, tetapi ia sememangnya sebuah kenderaan yang boleh diharap. Ia juga jauh menjimatkan minyak berbanding Mustang dengan enjin V8 Salyers sebelum ini.
Kejatuhan harga minyak sejak kebelakangan ini membolehkan Salyers dan pemandu lain lebih berjimat.
Apabila semakin ramai yang tahu tentang kisah kemurahan hatinya, perniagaan restoran Salyers dikatakan semakin maju. Malah ada pelanggan yang datang dari jauh semata-mata untuk makan di sana.
Kini restorannya kembali dibuka dengan mengekalkan penjarakan sosial yang ketat. Salyers juga memulakan satu akaun GoFundMe untuk memberikan makanan pada harga lebih murah buat golongan warga emas yang kurang berkemampuan.
Sehingga kini, akaun itu sudah menerima dana lebih AS$7,000 (RM28,000).