Buletin

PELOPOR REKA BENTUK FORD MUSTANG MENINGGAL DUNIA AKIBAT KANSER HATI

Gale Halderman, budak kampung yang bertanggungawab melakar model popular Ford Mustang dan masih dijual selepas 56 tahun telah meninggal dunia. 

Anak kelahiran Tipp City, Ohio Amerika Syarikat (AS) itu meninggal dunia di sebuah hospital pada usia 87 tahun akibat kanser hati.

Dia yang menghabiskan masa selama 40 tahun bersama Ford bermula di studio Lincoln-Mercury sebelum dipindahkan ke studio produksi Ford. 

Ketika berada di sana, ada satu pertandingan mereka bentuk kereta sports 2+2 baharu. Halderman sempat menghasilkan beberapa lakaran kereta di beranda rumahnya dengan salah satunya direalisasikan menjadi model Mustang. 

“Dia sangat dihormati dalam komuniti Mustang. Apabila Lee Iacocca meninggal dunia tahun lalu, Gale merupakan lagenda Mustang terakhir yang masih bersama kita.

“Kini, era keemasan permulaan Mustang sudah berakhir,” kata jurucakap keluarga dan penulis buku ‘Mustang by Design: Gale Halderman and the Creation of Ford’s Iconic Pony Car’. 

Halderman ialah pencetus kepada rekaan skup sisi yang menjadi ciri signatur pada Mustang original. Skup itu pada asalnya perlu berfungsi sebagai saluran udara untuk menyejukkan brek. Tetapi, komponen itu melibatkan penambahan kos, maka ia terpaksa dijadikan sebagai hiasan sahaja. 

Dalam satu temuramah dengan Consumer Guide, Halderman memberitahu projek Mustang bermula sebagai cadangan kereta elektrik bersaiz kecil. Projek itu melibatkan dua orang pereka bentuk yang bekerjasama menggunakan satu model tanah liat. 

Ia kemudian berkembang menjadi dua model tanah liat dan kemudiannya versi gentian kaca. Hasil kerja itu menarik perhatian Iacocca yang pada ketika itu merupakan pengurus besar divisyen, selain jurutera dan penasihat produk khas Ford, Hal Sperlich.  

Mereka berdua manggalakkan proses rekaan itu dibuat untuk sebuah kereta sports yang kemudiannya menjadi Mustang.

Halderman kemudian diminta menghasilkan beberapa lakaran dengan salah satunya dipilih untuk dijadikan model tanah liat saiz sebenar. 

Dia memberi kredit kepada Ketua Pereka Bentuk, Joe Oros kerana memberikan profail fastback kepada Mustang.

“Kami lakukannya secara rahsia. Tiada siapa yang tahu termasuklah Sperlich dan Iococca sehinggalah ia siap. Kami hasilkannya menggunakan gentian karbon dan mengecatnya dengan warna merah terang. 

“Apabila kami tunjuk kepada Iacocca, dia kata: Kita mesti buat model ini! Sejak dari awal lagi Mustang menerima maklum balas yang sangat memberangsangkan. Jadi, kami yakin Mustang akan jadi model popular,” katanya lagi. 

Halderman juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan logo Mustang untuk model 1971 hingga 1973.

Selepas bersara daripada Ford pada tahun 1994, dia membuka Muzium Gale Halderman di sebuah bangsal minyak keluarganya di Tipp City. 

RIP brother!  

Tags
Google ads
Back to top button