BuletinMotosikal

KAWASAKI MOTORS MALAYSIA LANCAR NINJA 250 2018. RM23,071

Kawasaki Motors Malaysia telah melancarkan Ninja 250R baru bersempena dengan pembukaan acara Art Of Speed yang sedang berlangsung di MAEPS, Serdang hari ini.

Setelah diperkenalkan pada pameran Tokyo Motorshow yahun lalu di Jepun, ia tidak menunggu masa yang lama untuk tiba di Malaysia.

Ninja 250R ini dilengkapkan dengan lampu hadapan dan belakang LED dan winglet ala MotoGP dan sebagai bonus rekaan belakang kini menyamai ZX-10R. 

Walaupun nampak besar, Ninja 250R baru ini adalah lebih ringan berbanding model sebelumnya. Ianya hanya 164 kilogram dan mempunyai nisbah kuasa kepada berat yang lebih baik.

Speedometer digital analognya kelihatan sama dengan model 650R lengkap dengan meter perbatuan, posisi gear, trip meter, penunjuk ekonomi, jam digital, suhu cecait pendingin dan macam-macam lagi. Yang tak ada cuma petunjuk harga minyak semasa.

Jika 2 generasi sebelum ini Kawasaki Ninja 250 menggunakan casis jenis diamond ataupun bentuk berlian, generasi ketiga diberikan casis yang berbeza. Walaupun menggunakan material steel tubular yang sama tetapi kali ini enjin itu sendiri digunakan sebagai sokongan kepada casis – Stressed Member Engine.

Casis ataupun kerangka Stressed Member Engine menggunakan enjin itu sendiri sebagai struktur untuk mengukuhkan casis untuk aliran kuasa dan tork yang lebih baik. Ia juga akan mengurangkan berat keseluruhan dan merendahkan pusat graviti.

Bagaimana dengan prestasi enjin? Jangan bimbang kerana ia juga turut dinaik taraf. Walaupun kelihatan sama enjin ini sebenarnya sudah diubahsuai agar menjadi lebih kompak dan ringan. Kotak udaranya telah diperbesarkan dari 4.7 liter kepada 5 liter dan posisinya juga diubah dari posisi asal untuk pengambilan udara lebih baik.

Udara tersebut kemudiannya disalurkan ke throttle body bersaiz 32mm, lebih besar berbanding 28mm sebelumnya. Kesemua proses naik taraf tadi membuatkan angka kuasanya kini melonjak kepada 38.2 hp dan tork maksima 23.5 Nm menyamai kuasa Honda CBR250RR dan jauh lebih baik berbanding Yamaha R25.

Jadi, berapakah harganya?

Dengan kelengkapan baru ini, ia dijual pada harga RM23,071 tidak termasuk kos insurans dan atas jalan.

GALERI

Google ads
Back to top button