
KAWASAKI VERSYS 900 2027 DIUMUMKAN – DENGAN RADAR DAN QUICKSHIFTER, 120HP
Seperti dijangka, Kawasaki dengan rasminya mengumumkan ahli baharu keluarga Versys dengan pelancaran Kawasaki Versys 900 SE LT yang dikuasakan unit sama dari Z900.
Model baharu ini diposisikan di antara Versys 650 dan Versys 1100 sebagai jentera sport-tourer berkeupayaan tinggi.

Meskipun mengguna pakai nama Versys namun model 900cc ini menerapkan reka bentuk Aero Edge berbanding Ninja sekaligus bahagian depan tampil lebih kurus dan minimal berbanding Versys 650 dan 1100.
Menurut Kawasaki, reka bentuk Aero Edge ini menggabungkan lapisan bentuk badan dan ruang terbuka bagi mewujudkan rekaan yang tampak lincah dan mudah dikawal.

Versys 900 LT SE ini menawarkan 120hp pada 9,500rpm dan 97Nm pada 8,000rpm yang terhasil dari unit empat silinder 948cc dari Z900. Untuk perbandingan, Z900 menghasilkan 122hp pada 9,500rpm dan 97Nm pada 7,700rpm. Kawasaki mendakwa respon enjin pada kelajuan rendah dan pertengahan adalah lebih terkawal.
Enjin ini turut dipadankan bersama klac assist dan slipper, dengan transmisi manual 6-kelajuan yang telah ditala agar jentera mampu cruising pada kelajuan rendah dan tanpa perlu menukar gear dengan kerap. Pada masa sama, bi-directional quickshifter juga diberikan secara standard.

Sementara itu, bahagian enjin juga bertindak sebagai stressed member casis yang disokong oleh kerangka trellis serba baharu yang dibangunkan khas untuk Versys 900. Bahagian subframe juga diperkukuh untuk membawa pembonceng dan barangan.
Kawasaki menjelaskan bahawa casis pada Versys 900 ini menawarkan pengagihan berat (weight distribution) hampir 50:50 sekaligus menawarkan kawalan yang lebih cekap.

Pakej suspensi terdiri dari fork terbalik (USD) 43mm yang menawarkan jarak gerak 150mm dengan pelarasan rebound damping dan preload secara manual. Bahagian belakang pula menempatkan penyerap hentak jenis horizontal back-link dengan jarak gerak 160mm. Penyerap belakang juga menawarkan pelarasan rebound damping dan preload.
Versys 900 ini juga hadir dengan rim berukuran 17-inci yang diambil terus dari Z900 dan dilengkapi dengan tayar Metzeler Sportec 01 baharu. Tayar hadapan dipadankan bersama cakera 310mm dan brek radial empat piston sementara tayar belakang pula dilengkapi cakera 260mm dengan brek satu piston.

Buat pertama kalinya pada model Versys, model 900cc ini turut dilengkapi sensor radar di hadapan dan belakang sekaligus menawarkan ciri seperti:
- forward collision warning
- blind-spot detection
- lite adaptive cruise control (ACC)
Ciri lain ditawarkan termasuk meter TFT 5-inci, USB-C, penghadang angin boleh laras, riding mode serta tangki 20L.
GALERI: KAWASAKI VERSYS 900 2027



































