Buletin

KELUARGA MANGSA MAUT DILANGGAR PEMANDU MABUK MAHU AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG

Keluarga mangsa yang maut dilanggar oleh pemandu mabuk di Kilometer 13 Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Butterworth dilapor akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pemandu kereta berkenaan.

Bapa Muhammad Amin Najmi, Azaman Hashim, 49, memberitahu tindakan undang-undang itu demi keadilan buat anaknya dan sahabat baik anak kedua daripada empat beradik itu, Muhamad Syaiful Hilmi Rosidi, 21.

Menurut Azaman, dia akan berbincang dengan keluarga Muhamad Syaiful untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk saman ke atas pemandu wanita tersebut.

“Ini sebagai keadilan untuk kedua-dua arwah. Saya juga berharap pihak kerajaan dan polis  dapat ambil tindakan yang lebih tegas terhadap pemandu mabuk ini.

“Sebabnya, sejak kebelakangan ini, kita kerap dengar kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk semakin meningkat. Mereka yang tidak bersalah jadi mangsa,” katanya ketika ditemui di bahagian forensik Hospital Kepala Batas, pada Selasa.

Dalam kemalangan pukul 2.30 pagi itu,  Muhammad Amin membonceng motosikal Yamaha 125 ZR yang ditunggang Muhamad Syaiful dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Paya Keladi Hujung, sebelum dilanggar dari arah belakang.         

Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa terpelanting beberapa meter. Manakala motosikal mereka hangus terbakar.  Wanita yang memandu kereta Toyota Vios dan berada di bawah pengaruh alkohol itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Azaman yang bekerja kilang berkata dia dan isteri, Normasirah Mat Sidik, 47, sempat makan bersama Muhammad Amin pada 11 malam tadi sebelum dia keluar dengan rakannya kerana ada hal kerja yang perlu diselesaikan.

“Ibunya sempat pesan supaya balik awal kerana dia bekerja pagi ini. Kami hanya tahu arwah terlibat kemalangan selepas dihubungi pihak polis dan saya terus bergegas ke lokasi kejadian,” katanya yang memberitahu anaknya bekerja sebagai kontraktor pendawaian.

Jenazah Muhammad Amin dan Muhamad Syaiful dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Paya Keladi, pada Selasa.  BERNAMA

Tags
Google ads
Back to top button