Buletin

POLIS CADANG HUKUMAN LEBIH BERAT PADA PEMANDU MABUK

Beberapa kejadian kemalangan jalanraya yang berlaku dipercayai akibat pemandu mabuk mencetus kebimbangan di kalangan rakyat Malaysia. Dalam satu dapatan terbaru, Polis turut mencadangkan hukuman lebih berat dikenakan kepada pemandu mabuk.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan supaya akta sedia ada dipinda bagi memberi hukuman lebih berat dan setimpal terhadap mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, cadangan itu akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan untuk meminda undang-undang itu di parlimen.

Menurutnya, denda sekarang terlalu rendah iaitu maksimum RM300 dan polis berharap ia dapat disemak semula untuk hukuman yang lebih berat.

“Kita cadangkan mungkin dari RM1,000 hingga RM5,000 denda dikenakan kepada pemandu yang didapati berada di bawah pengaruh alkohol.

“Di peringkat kita (PDRM) akan berbincang dari sudut perundangan dan akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan cadangan itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian lelaki yang dibelasah orang awam selepas pacuan empat roda dipandunya merempuh dua motosikal sehingga menyebabkan kematian dalam kemalangan di Jalan Kebun, Klang, semalam.

Azisman berkata, pihaknya masih menunggu keputusan ujian darah lelaki yang merempuh dua motosikal itu daripada Jabatan Kimia.

“Polis memang mengambil perhatian isu pemandu mabuk ini terutama di bandar besar yang terdapat pusat hiburan.

“Kita ada pegawai penguat kuasa bersama alat untuk mengesan kandungan alkohol yang memantau mereka,” katanya.

Sementara itu, polis akan menguatkuasakan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi menangani isu samseng jalanan yang memperuntukkan hukuman denda tinggi dan penjara.

“Sesiapa yang bawa kenderaan berbahaya dan melulu akan disiasat mengikut seksyen ini yang amat ditakuti golongan mat rempit jika mereka ditahan,” katanya.

KREDIT: HARIAN METRO

Google ads
"
"
Back to top button