11 KENDERAAN DILANGGAR LELAKI MABUK DI KLANG
Seorang lelaki yang dipercayai mabuk dilapor telah merempuh 11 buah kenderaan di kawasan parkir Flat Taman Kota Pendamar 2, Klang pada jam 9.35 malam semalam.
Pemandu berusia 36 tahun itu memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Pendamar menuju ke Pelabuhan Klang. Dia mengundurkan kenderaan dan melanggar beberapa kenderaan lain yang diparkir. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli memberitahu suspek cuba melarikan diri sebelum kenderaan dipandunya terhenti selepas melanggar tiang elektrik. Ujian awal mendapati kandungan alkohol dalam darah suspek melebihi paras yang dibenarkan.
“Suspek telah dihantar untuk menjalani ujian air kencing dan permohonan reman akan dibuat pada pagi ini,” katanya. Setakat ini, hanya lapan pemilik kenderaan termasuk pemandu terbabit telah membuat laporan polis.
Siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV), keadaan permukaan jalan juga kering dan tidak hujan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) dan Seksyen 45a (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sejak semalam, video kejadian yang dipercayai dirakam oleh penduduk di kawasan berkenaan tersebar melalui media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp. – Berita Harian Online