Buletin

PEKERJA KILANG MAUT, ISTERI PARAH DIREMPUH PEMANDU MABUK. APALAH NASIB 5 ORANG ANAK KECIL MEREKA…

Seorang pekerja kilang maut, manakala isterinya cedera parah selepas motosikal yang mereka naiki dilanggar oleh kereta dipandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol.

Kejadian malang itu berlaku pada jam 5.05 pagi di Kilometer 140.2 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke utara berhampiran susur Perai, Bukit Mertajam.

Mangsa, Khairizul Mohamad Noor, 38, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan. Isterinya, Zuriana Hasan, 35, yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal di lorong kiri sebelum dirempuh dari arah belakang oleh kereta yang dipandu lelaki berusia 33 tahun. Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan raya dan pemandu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat. Sementara sterinya kini dilaporkan masih belum sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal. 

“Pemandu kereta berkenaan telah ditahan untuk siasatan. Ujian pernafasan menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) mendapati dia memandu di bawah pengaruh alkohol,” kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid. 

Nik Ros Azhan turut meminta kerjasama orang ramai atau saksi yang melihat kemalangan itu agar tampil untuk membantu siasatan 

Salah seorang ahli keluarga mangsa yang ditemui di Unit Forensik HSJ memberitahu pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Butterworth selepas keluar makan bersama dua lagi adik mereka malam tadi.

Zuriana yang masih belum sedar tidak tahu suaminya telah meninggal dunia. Mereka mempunyai lima anak yang masih kecil. – Sinar Harian

Tags
Google ads
Back to top button