Artikel Pilihan

ENAM KALI BERPUSING DALAM KEMALANGAN TAPI DEFENDER 110 INI MASIH UTUH – PEMANDU CUAI ADA DI MANA-MANA

Video kemalangan melibatkan sebuah Land Rover Defender 110 baharu berpusing sebanyak enam kali di Florida kini tular di seluruh dunia. Syukurlah semua yang terlibat terselamat gara-gara seorang pemandu yang tertinggal otak di rumah sewaktu memandu.

Video menunjukkan SUV terbaru Land Rover ini sedang bergerak lancar sebelum tiba-tiba dilanggar sebuah Mazda CX-5 yang menukar lorong secara tiba-tiba. Hish, nak terberak ke Dol? Kalau kecemasan bini nak beranak sekali pun pandu la elok-elok sikit. Sakit hati betul bila ada pemandu yang membelok mengejut sebab terlepas simpang.

Perlanggaran tersebut terlindung di sebalik sebuah treler besar tetapi sudah tentu cukup hebat sehingga membuatkan Defender tersebut berpusing beberapa kali sebelum ‘terbang’ melanggar tiang lampu jalan dan jatuh terhempas di atas pembahagi jalan. Lebuh raya empat lorong pulak tu.

Pemandu lain segera berhenti untuk memberikan bantuan kepada penumpang Defender tersebut yang kelihatan remuk teruk tapi syukurlah kerana semuanya terselamat dengan kecederaan ringan.

Pemandu tersebut nampaknya memang terlepas jalan susur keluar (sebab berangan kot) dan kemudian secara tergesa-gesa ingin menukar lorong dan berlanggar dengan Defender yang sedang bergerak laju.

Kemalangan ini sebenarnya berlaku empat bulan lepas tapi pertama kali lihat kami sangkakan ia adalah adegan dari filem James Bond ataupun Japar Bourne Legacy. Jangan lupa selain kuasa Allah Taala, kemalangan ini juga menunjukkan kepada kita betapa majunya sistem keselamatan kenderaan yang sudah kita capai. Agak-agak kalau penumpang Land Rover ni guna klip tali keledar macam budak H hari tu apa akan jadi?

Kalau selama ini kita kagum dengan ujian perlanggaran yang sengaja dilakukan untuk menguji keselamatan kenderaan, kali ini kita dapat saksikan sendiri keadaan yang sama di jalan raya sebenar. Cukup mengerikan bukan?

Jadi lain kali jangan nak memandai-mandai nak menipu sistem keselamatan kenderaan dengan membeli aksesori merapu yang berharga tak sampai 20 hengget. Klip untuk bypass bunyi tak pakai tali keledar la, tilam angin untuk keselesaan anak-anak masa jalan jauh la. Eh, baik guna duit tu beli kismis makan banyak-banyak supaya otak tu cerdas sikit.

Kredit carscoops.com

Google ads
"
"
Back to top button