
APA YANG SEBENARNYA TERJADI HINGGA MENYEBABKAN KALLE ROVANPERA KEMALANGAN DI RALLY BELGIUM?
Umum mengetahui pelumba muda pasukan Toyota Gazoo Racing, Kalle Rovanpera mempamerkan suatu aksi pemanduan yang cukup konsisten musim ini terutamanya kemenangan podium beliau. Di tambah dengan prestasi jentera Toyota GR Yaris Rally1 yang seakan memberikan kerjasama yang jitu untuk memastikan beliau berjaya mendahului pungutan mata dengan agak selesa.
Namun ketika perlumbaan di Ypres Rally Belgium yang berlangsung minggu sudah, tiada langsung kelibat Kalle Rovanpera di senarai 10 pemandu terbaik, jauh sekali untuk kemenangan podium. Lantas apa yang terjadi kepada beliau sebenarnya?
Kalle Rovanpera sebetulnya mengalami kemalangan yang mungkin kelihatan sedikit pelik ketika baharu sahaja memulakan SS2. Ketika memulakan saingan SS1, Kalle Rovanpera berjaya mendahului meninggalkan rakan sepasukan Elfyn Evans dengan perbezaan masa hanya 2.5 saat sahaja. Jikalau diikutkan, Kalle Rovanpera sememangnya dilihat tidak mempunyai masalah untuk meneruskan penguasaan beliau terhadap perlumbaan Ypres Rally Belgium ini.
Namun sebelum memulakan SS2, Kalle Rovanpera yang tiba tepat pada masanya di tempat pelepasan, namun terdapat sedikit isu membabitkan Chronometer dan telah dihalang seketika oleh Marshal. Maka tertundalah beberapa ketika di saat Kalle Rovanpera dan Juruarahnya Jonne Halttunen. Sudah tentu perkara sebegini merencatkan sedikit mental keduanya. Malah, dalam rakaman kedengaran suara jeritan “No No No” ke arah Marshal tanda mereka tidak berpuas hati dengan situasi yang melanda.

Situasi sebegini sebenarnya sedikit sebanyak mengganggu Kalle Rovanpera yang pastinya terlebih dahulu telah memanaskan tayar bagi mendapatkan kelajuan yang optimum ketika memecut laju di laluan. Apabila berlakunya penundaan seketika, sudah pasti Kalle Rovanpera merasakan yang tayarnya dah kurang panas untuk ketika mula berlepas. Tayar kurang panas dan ditambah dengan perasaan gemuruh.
Akibatnya, di SS2 ini jugalah jentera Toyota GR Yaris Rally1 ini hanya sedikit terbabas ke sebelah kanan laluan dan terlanggar dengan sedikit tebing daripada laluan di tepi yang mengakibatkan jentera terbalik beberapa kali sebelum kembali dalam keadaan asal, tapi dalam keadaan total lost. Mujur keduanya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tetapi katanya Kalle Rovanpera lebih menyalahkan diri sendiri di atas kealpaan beliau untuk mendengar arahan pacenotes yang diberikan berbanding situasi yang melanda sebelumnya. Syabas anak muda.

Dan lebih penting dan ajaibnya, krew serta mekanik pasukan Toyota Gazoo Racing telah melakukan magis apabila berjaya menyiapkan sebuah jentera baharu dalam masa yang singkat sahaja. Hasilnya? Kalle Rovanpera berjaya memungut mata maksium ketika Wolf Power Stage dan menjarakkan kedudukan mata pendahulu. Handal betul anak muda Finland ini.
BACA : WRC 2022 – OTT TANAK UNGGUL UNTUK MEJUARAI YPRES RALLY BELGIUM
BACA : ESAPEKKA LAPPI PODIUM DI RALLY FINLAND. INI BARU BETUL GILA